Prestasi Kemasukan FDI di China Cemerlang

2021-01-25 13:42:42  CRI
Share with:

China menjulang gelaran penerima pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di dunia apabila prestasinya buat julung-julung kalinya melebihi Amerika Syarikat (AS) pada 2020.

Seperti yang dicatatkan dalam Laporan Pemantau Trend Pelaburan Global oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) pada Ahad, kemasukan FDI di negara ini menunjukkan trend peningkatan meskipun keadaan ekonomi serata dunia suram akibat pandemik COVID-19.

Ketika mengulas prestasi pengaliran masuk FDI berkenaan, ketua Jabatan Pelaburan dan Perusahaan UNCTAD, Zhan Xiaoning menyatakan, China berjaya mengatasi impak daripada penularan wabak dan turut merekodkan kenaikan mampan FDI sepanjang tahun lepas.

"Berdasarkan anggaran UNCTAD, jumlah penggunaan sebenar modal asing di China mencecah USD163 bilion (RM659.58 bilion) tahun lepas, meningkat kira-kira 4 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya ketika diwawancara oleh pemberita Kumpulan Media China (CMG) secara maya.

Menurut Zhan, tatkala COVID-19 tetap berleluasa di dunia, ekonomi China berkemampuan pulih dengan lebih pantas, hingga menjadi destinasi pelaburan di mata pelabur global.

"Ketika wabak, syarikat-syarikat multinasional telah mengekalkan dan memperluas pelaburan mereka di China susulan kebergantungan tinggi terhadap rantai bekalan dan perindustrian yang ditawarkan China.

"Tambahan pula, sesetengah sektor di negara ini yang makin terbuka  juga merangsang pertumbuhan pelaburan asing,” ujar beliau lebih lanjut.

Zhan turut menyatakan bahawa langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk melicinkan aktiviti pelaburan banyak membantu memantapkan pelaburan asing.

Sementara itu, laporan tersebut merekodkan penurunan FDI global hingga ke paras USD859 bilion (RM3.48 trilion) bagi 2020, menyaksikan penyusutan sebanyak 42 peratus berbanding USD1.5 trilion (RM6.07 trilion) yang dicatatkan pada 2019.

董筱娉