Perlindungan Alam Perlukan Sinergi Global: Menteri China

2021-02-23 15:14:41  CRI
Share with:

Tindakan lebih tegas perlu dilaksanakan dalam perjuangan perlindungan alam sekitar bagi memastikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dicapai, kata Menteri Ekologi dan Alam Sekitar China, Huang Runqiu.

Ketika berucap pada sesi kelima Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEA-5) secara maya pada Isnin, Huang menyatakan manusia dan alam semula jadi pada hakikatnya adalah saling berkongsi nasib.

Namun jelasnya, dunia pada ketika ini terdedah kepada pelbagai ancaman akibat perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan pencemaran.

"Adalah amat penting bagi semua untuk mengambil langkah-langkah praktikal pada tahun ini.

"Sidang Pemeterai Konvensyen Kepelbagaian Biologi ke-15 (COP15) bakal berlangsung di Kunming bermula 17 hingga 30 Mei.

"Kami berharap agar kerangka biodiversiti global pasca 2020 yang bervisi, pragmatik dan seimbang dapat dimuktamadkan pada sidang itu", ujar beliau.

Huang turut meluahkan harapan agar COP15 dapat mendorong tadbir urus global dilakukan secara lebih saksama dan munasabah, di samping berperanan dalam mengelak berlakunya kehilangan biodiversiti.

Mengulas mengenai isu persekitaran global, Huang berpendapat masalah itu mustahil diatasi oleh sesebuah negara secara sendiri, sebaliknya memerlukan sinergi dan kolaborasi.

Tambah beliau, selain sudi berkongsi pengalaman dengan masyarakat antarabangsa, China akan bertindak bersama negara-negara lain untuk menyumbang kepada usaha membina komuniti berkongsi nasib membabitkan manusia dan alam yang hidup secara harmoni.

Untuk rekod, sesi UNEA selama dua hari itu dihadiri wakil-wakil negara anggota PBB, tokoh-tokoh perniagaan, petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta alam secara maya.

董筱娉