Pakar Kesihatan China, AS Bincang Mengenai Pemvaksinan dan Pandemik

2021-03-04 12:04:24  CRI
Share with:

Pakar Kesihatan China, AS Bincang Mengenai Pemvaksinan dan Pandemik_fororder_微信图片_20210304114327

Pakar kesihatan terkemuka dari China dan Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan dan harapan masing-masing terhadap sistem kesihatan awam global tatkala dunia dilanda pandemik.

Kedua-dua mereka, iaitu Dr Zhong Nanshan, pakar penyakit pernafasan dari China, dan Dr Anthony Fauci, pakar penyakit berjangkit dari AS juga turut berkongsi cadangan mengenai kempen pemvaksinan dan sekali gus mengakhiri pandemik.

Dalam satu seminar yang dianjurkan secara bersama oleh University of Edinburgh dan Edinburgh Futures Institute menerusi telesidang pada Selasa, Fauci berpendapat bahawa adalah sukar bagi beberapa negara untuk mencari keseimbangan antara melawan wabak dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Menurut beliau, susulan kesan pandemik COVID-19 yang masih berterusan, sesebuah negara akan berhadapan dengan risiko kesihatan mental dan masalah ekonomi sama ada jika bergerak terlalu pantas atau bergerak terlalu perlahan.

Sementara itu, Dr Zhong pula mengingatkan bahawa wabak tidak akan berakhir jika dunia hanya bergantung kepada vaksin sahaja.

Beliau berkata, meskipun program pemvaksinan besar-besaran telah dijalankan di banyak negara di seluruh dunia, ia masih tidak mencapai kadar pencegahan sehingga 100 peratus.

Pada masa sama, kedua-dua mereka turut menyeru kepada kerjasama global dalam perjuangan melawan wabak COVID-19.

Dr Fauci berkata, ketika berhadapan dengan pandemik, semua individu harus berganding bahu di negara masing-masing selain menegaskan bahawa pandemik memerlukan tindakan sejagat.

Dalam pada itu, Dr Zhong menambah bahawa keputusan mengenai dasar kesihatan harus dibuat berdasarkan sains dan bukan politik.

Selain itu, Dr Fauci dan Dr Zhong turut berharap agar semua negara dapat mempertahankan semangat perpaduan, meningkatkan kerjasama dan koordinasi, serta bekerjasama untuk memberikan suntikan vaksin ke atas seramai yang mungkin.

曹捷