China: ASEAN Kekal Rakan Dagang Terbesar pada Suku Tahun Pertama 2021

2021-04-14 11:49:33  CRI
Share with:

ASEAN mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar bagi China pada suku tahun pertama 2021, dengan jumlah perdagangan direkodkan sebanyak USD190 bilion (RM784 bilion), kata jurucakap Jabatan Pentadbiran Am Kastam (GAC), Li Kuiwen semalam.

Menurut Li, pada tempoh yang sama, import eksport antara satu sama lain mencapai RMB1.24 trilion (RM782 bilion) iaitu meningkat 26.1 peratus, atau bersamaan 14.7 peratus dalam keseluruhan perdagangan luar China.

Antaranya, jumlah eksport China dicatatkan sebanyak RMB683.48 bilion (RM431.21 bilion), sekali gus menyaksikan penambahan 27.7 peratus.

Manakala, jumlah import China pula berjaya mencecah angka RMB560.6 bilion (RM353.68 bilion), iaitu meningkat 24.3 peratus.

Jelas Li, pertumbuhan ketara yang berjaya dicapai itu merupakan hasil daripada kemajuan dalam penggunaan domestik negara Tembok Besar.

Dalam pada itu, potensi China untuk mengimport barang pengguna terus diintensifkan.

Seiring dengan pertambahan permintaan pasaran domestik terhadap barang pengguna dan penaiktarafan struktur penggunaan, keperluan untuk mengimport barang pengguna, terutama produk pertanian dari ASEAN turut diperkasakan dengan jumlah import barang pengguna merekodkan RMB52.42 bilion (RM33.07 bilion) atau meningkat 30.6 peratus.

Selain itu, kerjasama untuk membendung pandemik bukan sahaja mendorong kepada pemulihan ekonomi serantau, malah juga menggalakkan import eksport barang yang berkaitan.

Tekstil, bahan perubatan dan ubat-ubatan termasuk penutup mulut dieksport ke ASEAN dengan nilainya masing-masing melebihi RMB48.99 bilion (RM30.91 bilion) dan RMB6.32 bilion (RM3.99 bilion), iaitu meningkat 24.1 peratus dan 104.8 peratus.

Dalam perkembangan lain, perdagangan tenaga pula turut menonjol dalam kerjasama kedua-dua pihak, dengan jumlah import gas asli oleh China dari ASEAN mencapai RMB8.85 bilion (RM5.58 bilion), yang menyaksikan peningkatan 31.6 peratus.

曹捷