China Gubal Undang-Undang Menentang Hegemoni

2021-06-11 14:53:31  CRI
Share with:

Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) meluluskan Undang-Undang Antisekatan Asing pada Khamis. Undang-undang itu melengkapkan sistem China untuk menentang sekatan, campur tangan dan menjangkau bidang kuasa oleh negara asing. Dengan adanya undang-undang tersebut, China lebih berupaya untuk memelihara kedaulatan, keselamatan, dan kepentingan pembangunan negara di samping memelihara kesamarataan dan keadilan antarabangsa.

Baru-baru ini, beberapa negara Barat menggunakan isu Xinjiang dan Hong Kong untuk mengenakan sekatan terhadap pertubuhan dan individu China berdasarkan undang-undangnya sendiri. Tindakan menjangkau kuasa ke atas negara lain tersebut dianggap mencampuri urusan dalaman China, membelakangi undang-undang antarabangsa dan norma asas hubungan antarabangsa, bahkan merosakkan sistem antarabangsa yang berteraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berdepan sekatan sepihak negara asing, adalah amat mustahak bagi China untuk mengambil tindakan balas berdasarkan undang-undang. Ini bukan sahaja untuk membela maruah dan kepentingan negara, tetapi juga demi mempertahankan prinsip tidak mencampuri urusan dalaman negara lain di samping memboikot hegemoni dan politik kekuatan.

Oleh sebab itu, penggubalan Undang-Undang Antisekatan Asing adalah sah dari segi undang-undang antarabangsa. Langkah tersebut sama sekali berlainan dengan hegemoni segelintir negara termasuk Amerika Syarikat (AS).

Nama undang-undang tersebut menunjukkan bahawa China bukanlah pihak yang mencetuskan provokasi, tetapi berbalas terhadap tindakan provokasi asing. Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia telah meluluskan undang-undang seumpama masing-masing pada tahun 1996 dan 2018.

Yang lebih penting adalah China mengambil tindakan balas bersasar pertubuhan dan individu yang mencampuri urusan dalaman China, menghitamkan nama China dan mengekang negara ini. Firma dan individu yang menjalankan urus niaga sah tidak akan terpengaruh.

Keazaman China untuk mempertahankan dasar pembaharuan dan pintu terbuka dan membina iklim pasaran yang baik tidak akan goyah.

徐国玮