Prospek Kerjasama China, Arab Lebih Cerah

2021-06-19 15:36:19  CRI
Share with:

Aktiviti ekonomi dan perdagangan antara China dengan dunia Arab kekal kukuh dan dinamik, sekali gus menjanjikan prospek kerjasama lebih cerah.

Demikian ujar Naib Menteri Perdagangan China, Qian Keming dalam sidang media mengenai Ekspo China-Negara Arab kelima, di Beijing pada Jumaat.

Menurut beliau, China menjadi rakan dagang terbesar negara Arab, manakala Arab pembekal minyak mentah terbesar China di seberang laut.

Difahamkan, nilai perdagangan dua pihak itu bagi tahun 2020 direkod mencapai USD239.8 bilion (RM992.7 bilion).

Setakat hujung tahun lalu, amaun simpanan pelaburan langsung asing (FDI) China ke negara Arab mencecah USD20.1 bilion (RM83.2 bilion), dan jumlah kumulatif pelaburan dunia Arab di China sebanyak USD3.8 bilion (RM15.7 bilion), yang membabitkan minyak dan gas, pembinaan, pengilangan, logistik dan kuasa elektrik.

Qian berpendapat, kerjasama dua pihak dalam pembangunan infrastruktur membuahkan hasil ketara dan dijangka berkembang lebih pesat.

“Hasrat negara-negara Arab untuk memulihkan ekonomi, membaiki taraf hidup rakyat dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan semakin mendesak.

“Usaha membangunkan projek kemudahan prasarana terus diperkasa dengan lebih banyak teknologi canggih diaplikasikan,” ujar beliau.

Ekspo China-Negara Arab edisi kelima bakal berlangsung di bandar Yinchuan, wilayah Ningxia bermula 19 hingga 22 Ogos.

董筱娉