Pemvaksinan COVID-19 Cecah 100 Juta di Tanah Besar China

2021-06-21 14:30:38  CRI
Share with:

Sebanyak 100 juta dos vaksin COVID-19 telah diambil di tanah besar China setakat 19 Jun lalu.

Menurut maklumat dari laman web Suruhanjaya Kesihatan Negara China (NHC), jumlah kumulatif dos vaksin yang diambil dan penerima suntikan vaksin yang direkodkan di tanah besar negara ini sejak program pemvaksinan dilancarkan pada 15 Disember tahun lepas menduduki tangga teratas senarai global.

Sementara itu, pemastautin asing juga disenaraikan dalam mekanisme bersepadu pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19  di banyak tempat negara ini, dan mereka sedang diatur untuk menerima suntikan vaksin di bandar raya seperti Beijing, Shanghai dan Guangzhou serta provinsi Guangdong, Jiangsu dan Zhejiang.

Dalam perkembangan lain, sejumlah 21 jenis vaksin sedang dalam peringkat ujian klinikal, antaranya empat jenis vaksin diizinkan dipasarkan dan tiga jenis vaksin diluluskan untuk kegunaan kecemasan di dalam wilayah negara ini, manakala lapan jenis vaksin diluluskan untuk menjalani ujian klinikal fasa ketiga dan sejenis vaksin mRNA mendapat kelulusan etika di luar negara.

Statistik dari Kementerian Perdagangan China menunjukkan China telah mengeksport vaksin kepada lebih 40 buah negara setakat awal Jun. Selain itu, kumpulan pertama vaksin COVID-19 hasilan China bagi “Rancangan Pengagihan Vaksin COVID-19” (COVAX) telah dikeluarkan baru-baru ini yang turut disifatkan sebagai tindakan China yang kondusif bagi menunaikan komitmen menjadikan vaksin COVID-19 “produk awam global”. 

曹捷