AS, Jangan Kecewakan Dunia Lagi

2021-11-16 13:37:12  CRI
Share with:

Persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menutup tirainya di Glasgow, Scotland pada Sabtu telah mencapai dokumen resolusi bagi menangani krisis iklim serta konsensus mengenai butiran pelaksanaan Perjanjian Paris.

Kelulusan dokumen resolusi tersebut yang disifatkan membawa makna bersejarah, adalah berkat China dan Amerika Syarikat (AS) mengikat kerjasama dalam usaha mengatasi perubahan iklim.

Dalam sesi ke-26 Persidangan Pihak-Pihak Pemeterai (COP26) Konvensyen Kerangka Kerja Perubahan Iklim PBB, China dan AS mengeluarkan deklarasi bersama mengenai peningkatan tindakan terhadap perubahan iklim pada 2020-an, yang diyakini akan merangsang tindakan kolektif global.

Selaku negara membangun terbesar di dunia, China sentiasa cakap serupa bikin dalam usaha berkenaan.

China komited mencapai matlamat neutral karbon daripada puncak karbon dengan mengambil masa kira-kira 30 tahun, jauh lebih singkat berbanding negara maju utama.

Bagaimanapun, masyarakat antarabangsa masih khuatir sama ada AS akan bertindak seperti yang dijanjikannya.

Penganalisis beranggapan sikap negara itu yang tidak berpendirian tetap merupakan faktor terbesar yang mempengaruhi sinergi global dalam menangani perubahan iklim.

Majalah The Diplomat dalam satu rencana menyebut bahawa masyarakat antarabangsa telah mengambil iktibar dan tidak lagi begitu percaya kepada kenyataan Washington.

Kebimbangan seumpama bukanlah sesuatu yang tidak munasabah.

Di AS, dasar iklim bukan satu soal saintifik, tetapi isu politik yang menjadi percaturan dua parti.

Justeru, mampukah AS mengotakan janjinya kali ini masih menimbulkan tanda tanya.

Tindakan lebih diperlukan daripada kata-kata. AS, janganlah mengecewakan dunia lagi!

Negara itu perlu menyedari bahawa membantu negara membangun bukan beramal, tetapi membayar hutangnya yang belum dilunaskan dalam sejarah.

Tanpa tindakan praktikal, segala janji dan komitmen yang dibuat hanya akan menjadi omong kosong sahaja pada akhirnya.

Buat masa ini, dunia mahu melihat tindakan sebenar dilaksanakan. AS perlulah menunaikan janjinya dengan bersungguh-sungguh.

周乔西