Panduan untuk ke Masjid Qianmen |
Sebuah lagi masjid di daerah Xuanwu ialah Masjid Qianmen yang terletak di kawasan Qianmen yang paling sibuk kerana berhadapan dengan medan Tian'anmen yang menjadi salah satu destinasi utama kunjungan pelancong. Di sini bas-bas pelancong berhenti untuk menurunkan pelawat yang akan berbaris dibawa oleh pemandu pelancong masuk ke dataran luas Tian'anmen untuk melawat Dewan Besar Rakyat, Makam Mao, Muzium Nasional China, Kota Larangan, Taman Zhongshan dan beberapa tempat lagi. Qianmen, tempat untuk membeli belah kerana terletak gerai-gerai barangan antik, cenderamata, pasar seni dan hotel-hotel sederhana murah yang menjadi kegemaran pelancong asing berkumpul. Sekiranya anda menggunakan subway line 2 ke stesen Qianmen keluar pintu C jalan arah ke selatan iaitu Meishi Jie (Meishi Street). Menyeberang ke kanan berhampiran perhentian bas Qianmen yang sibuk. Bergerak ke hadapan lagi sampai ke lorong sebelah kanan Beihuoshan Hutong. Masuk ke dalam lorong kecil itu sehingga sampai dua lorong yang berpecah dua. Jalan terus sehingga sampai ke lorong melintang tertulis Yangwei Hutong. Bangunan yang berderet itu bermula sebelah kirinya dengan gerai menjual daging, masjid berkenaan dan gerai makanan Islam. Jalan itu agak sempit tetapi anda akan terpegun sebaik masuk ke pintu gerbang masjid kerana ruang dalamnya agak besar. |