Masjid Eidgah merupakan mercu tanda bagi Bandar Kashgar, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang. Masjid itu merupakan masjid yang terbesar di Xinjiang malah seluruh China dan amat terkenal di dunia Islam antarabangsa. Masjid Eidgah yang luasnya kira-kira 1.68 hektar terletak di sebelah barat Dataran Eidgah, Bandar Kashgar. Panjangnya 140 meter dan lebarnya 120 meter. Pintu masjid itu menghadap ke arah timur.
Seni bina Masjid Eidgah mencapai tahap yang tertinggi seni bina Islam di China dan menunjukkan kebijaksanaan yang hebat kaum Uygur. Sejumlah dua hingga tiga ribu orang umat Islam bersembahyang di masjid itu tiap-tiap hari. Pada hari Jumaat, seramai enam hingga tujuh ribu orang umat Islam solat berjemaah. Sempena Hari Raya Korban, seramai 20 hingga 30 ribu orang umat Islam dari pelbagai tempat di Xinjiang berjemaah di masjid itu untuk menyambut hari kebesaran tersebut.
Masjid Eidgah merupakan pusat pengajian agama Islam yang terkenal sejak zaman dahulu. Sejumlah besar imam dan sarjana Islam yang berkhidmat di Xinjiang dan Asia Tengah adalah lulusan dari sekolah agama di masjid tersebut. selain itu, terdapat juga ramai penyair, pujangga, ahli sejarah dan penterjemah yang terkenal pernah mengikuti latihan di masjid tersebut.
Setelah Republik Rakyat China ditubuhkan, tokoh-tokoh Islam dari Masjid Eidgah dilantik sebagai pegawai kerajaan dan wakil rakyat. Mereka telah memberikan sumbangan yang besar terhadap pengajian tentang sejarah dan perkembangan agama Islam di Xinjiang.
Pada 25 Jun 2001, Masjid Eidgah yang dibina pada zaman Dinasti Ming (1368-1644) disenaraikan sebagai peninggalan sejarah peringkat kebangsaan kumpulan ke-5 oleh Dewan Negara.