Masjid Yuxi di Provinsi Yunnan
2011-11-10 13:25:33 CRI

Di bandar Yuxi di bahagian tengah provinsi Yunnan China, terdapat sebuah masjid besar yang amat megah dan cantik. Kubah dan kaca tingkap bangunannya berwarna hijau dan dindingnya dicat warna kuning. Inilah Masjid Yuxi yang amat terkenal di provinsi Yunnan.

Masjid Yuxi bernama Masjid Zhoucheng pada asalnya. Pada zaman dahulu, jumlah umat Islam di kawasan itu tidak ramai. Pada tahun 1827 Masihi, umat Islam provinsi Yunnan mengadakan pemberontakan untuk menentang maharaja pada Dinasti Qing. Sejumlah besar umat Islam yang menyertai pemberontakan itu telah berhijrah ke kawasan Yuxi dan membina masjid yang pertama di kawasan tersebut. Setelah pemberontakan itu gagal, masjid tersebut turut termusnah.

Pada tahun 1924, dua orang tokoh Islam yang bernama Ma Jinyou dan Ma Rui telah menderma sedekah untuk membina masjid di bandar Yuxi. Setelah Republik Rakyat China ditubuhkan, masjid itu telah ditutup sementara dan menjadi rumah untuk saudara mara imam. Setelah China mengamalkan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, masjid itu dapat dibuka semula.

Pada tahun 1988, jumlah umat Islam di kawsan itu telah mencatat lebih 1,400 orang. Masjid yang agak kecil pada masa itu sudah tidak dapat menampung begitu ramai umat Islam solat berjemaah. Umat Islam dan syarikat-syarikat di kawasan itu telah menderma sedekah sebanyak lebih 60 ribu yuan RMB untuk membina ruang sembahyang yang baru. Manakala, jumlah umat Islam di bandar Yuxi semakin ramai. Ruang sembahyang yang baru dibina itu pula tidak dapat menampung begitu ramai orang solat beramai-ramai. Pada Julai tahun 1992 hingga Januari tahun 1993, Masjid Yuxi dibina semula dan menggunakan dana sejumlah 130 ribu yuan RMB. Bangunan masjid baru itu luasnya 435 meter persegi dan mempunyai empat tingkat. Tingkat bawah menjadi asrama untuk imam, tingkat dua ialah ruang sembahyang, tingkat tiga ialah bilik kuliah dan tingkat empat menjadi asrama kepada pelajar yang mengikuti pengajian di masjid. Selain itu, masjid tersebut telah menyediakan sebuah bilik khas untuk menerima kunjung tetamu asing.

Pada tahun 1999, jumlah umat Islam di kawasan itu meningkat kepada 3 ribu orang. Pada 1 Jun 2002 hingga 24 Disember 2003, Masjid Yuxi dibaik pulih sekali lagi. Projek membaik pulih itu menggunakan sedekah dari umat Islam tempatan dan peruntukan daripada kerajaan sejumlah 2.27 juta yuan RMB. Bangunan-bangunan masjid yang baru luasnya lebih 3.3 ribu meter persegi. Ruang sembahyang boleh menampung 650 orang solat berjemaah.

Pada masa ini, Masjid Yuxi menyediakan kursus pengajian bahasa Arab, kursus agama untuk umat Islam warga emas. Selain itu, masjid itu juga menyediakan kursus pengajian agama dan bahasa Arab kepada kanak-kanak ketika cuti sekolah dan umat Islam biasa ketika cuti hujung minggu.

Pada masa ini, seramai 13 orang bakal imam belajar di Masjid Yuxi. Kemudahan bagi umat Islam di kawasan itu untuk beribadat semakin selesa.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China