Masjid Jinjiayao di Bandar Tianjin
2011-11-10 13:25:35 CRI

Masjid Jinjiayao di daerah Hebei bandar raya Tianjin mula dibina pada tahun 1574 masihi. Pada zaman itu, sejumlah besar anak kapal Islam bertugas menghantar bahan makanan untuk maharaja dari bahagian selatan ke bahagian utara China melalui terusan besar. Mereka selalunya singgah di kawasan Sungai Jinjiayao di Tianjin. Lama-kelamaan, mereka telah membina sebuah surau yang kecil di kawasan tersebut untuk beribadat. Itulah masjid yang paling awal di kawasan bandar Tianjin.

Pada zaman Dinasti Qing, jumlah umat Islam yang berhijrah ke kawasan itu semakin bertambah seiring dengan pembangunan di bandar Tianjin. Surau yang kecil itu tidak dapat menampung begitu ramai umat Islam untuk solat berjemaah. Umat Islam tempatan telah mengumpulkan sedekah untuk membaik pulih dan memperluas masjid tersebut pada tahun 1844 masihi.

Pada tahun 1927, agama Islam berkembang makmur di kawasan Jinjiayao. Jumlah umat Islam di kawasan itu turut bertambah dengan pesat. Kawasan yang berhampiran dengan Masjid Jinjiayao telah menjadi kawasan perdagangan Islam. Umat Islam tempatan telah sekali lagi mengadakan projek untuk membaik pulih masjid tersebut.

Pada awal tahun 1950-an, ramai umat Islam tempatan telah menyumbang harta dan rumah mereka kepada Masjid Jinjiayao. Kawasan masjid semakin luas. Sebagai masjid yang tertua di bandar Tianjin, Masjid Jinjiayao telah mendidik ramai imam yang terkenal di China seperti Wang Jingzhai dan Liu Shiheng.

Pada tahun 1990, kerajaan bandar Tianjin dan kerajaan daerah Hebei masing-masing memperuntukkan 120 ribu dan 40 ribu yuan RMB untuk membaik pulih masjid Jinjiayao. Tindakan tersebut amat dialu-alukan oleh umat Islam di kawasan tersebut. Pada tahun 1996, Persatuan Islam Daerah Hebei telah ditubuhkan. Sebagai anggota persatuan itu, Masjid Jinjiayao disenaraikan sebagai peninggalan sejarah di daerah tersebut.

Pada tahun 2000, kawasan perumahan Jinjiayao dibina semula. Masjid Jinjiayao juga dibina semula dan pembinaannya berlangsung selama dua tahun.

Keluasan bangunan masjid baru telah ditambah dari 592 meter kepada 2,023 meter dan meningkat 3.41 kali ganda berbanding dengan masjid yang lama. Keluasan ruang sembahyang juga ditambah dari 150 meter kepada 209 meter.

Dalam tempoh lebih 430 tahun yang lalu, Masjid Jinjiayao di Tianjin semakin besar dan terkenal. Masjid itu telah menyaksikan perkembangan agama Islam di kawasan tersebut.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China