Masjid Barat Zhaoqing di Provinsi Guangdong
2011-11-10 13:25:38 CRI

Masjid Barat Zhaoqing di provinsi Guangdong dibina pada tahun 1767 masihi. Tokoh Islam yang terkenal di kawasan Zhaoqing, Liu Shifang dan 15 orang umat Islam yang lain bersama-sama membeli tanah sebagai tapak masjid tersebut. Beliau berkhidmat sebagai imam yang pertama untuk masjid tersebut. Pada tahun 1831 masihi, Masjid Barat Zhaoqing dibaik pulih dan diperluas.

Pada tahun 1980 masihi, Masjid Barat Zhaoqing yang sudah berusia lebih 200 tahun telah usang dan menyulitkan umat Islam tempatan untuk beribadat. Imam masjid itu merangkap Pengerusi Persatuan Islam Bandar Zhaoqing, Yang Kaizhi agak rapat dengan umat Islam di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong. Beliau telah mengumpulkan sedekah daripada umat Islam di Hong Kong untuk membaik pulih Masjid Barat Zhaoqing. Projek membaik pulih masjid itu bermula pada bulan Mac tahun 1983 dan selesai pada bulan September tahun berikutnya. Bangunan baru Masjid Barat Zhaoqing direka bentuk oleh Bao Junwen, jurutera etnik Hui yang terkenal. Beliau menggabungkan seni bina Arab dengan seni bina tradisional China untuk mereka bentuk bangunan masjid yang baru. Ruang sembahyang yang luasnya 360 meter persegi mempunyai seni bina Arab.

Imam Yang Kaizhi seterusnya dipilih sebagai Pengarah Agensi Cinta Agama Islam China Hong Kong. Dengan usahanya, umat Islam Hong Kong telah menyumbangkan sedekah bagi projek membina menara azan, bangunan perkhidmatan dan bilik mesyuarat untuk Masjid Barat Zhaoqing. Masjid Barat Zhaoqing yang semakin moden telah memudahkan umat Islam tempatan menunaikan kewajipan. Bangunan masjid baru luasnya 1,406 meter persegi.

Umat Islam tempatan telah menderma beberapa buah rumah sendiri kepada masjid. Masjid itu menyewakan rumah-rumah tersebut kepada orang lain dan mendapatkan wang sewa kira-kira 4 ribu yuan RMB setiap bulan. Wang tersebut membiayai perbelanjaan masjid. Persatuan Islam Bandar Zhaoqing yang berpejabat di masjid itu selalu bekerjasama dengan Persatuan Islam Hong Kong dan Persatuan Muslimah Hong Kong untuk menangani hal ehwal agama. Pada masa ini, seramai 415 orang penduduk etnik Hui tinggal secara berkelompok di sekitar Masjid Barat Zhaoqing.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China