Masjid Utara Jinan
2011-11-10 13:26:08 CRI

Masjid Utara yang dibina pada tahun 1765 Masihi ini merupakan tempat beribadat bagi umat Islam di Xiguan, kawasan Islam di bandar Jinan, ibu kota Provinsi Shandong China. Masjid itu telah berusia lebih 400 tahun dan disenaraikan sebagai peninggalan sejarah penting kumpulan pertama di bandar Jinan.

Bangunan-bangunan di masjid itu luasnya lebih 2 ribu meter persegi dan bercirikan seni bina tradisional China dan Arab.

Berhampiran dengan bilik kuliah selatan, terdapat tugu peringatan Mu Huating, tokoh Islam yang terkemuka di China. Beliau dilahirkan di bandar Jinan pada tahun 1876 Masihi dan kembali ke rahmatullah pada tahun 1942 Masihi.

Pada tahun 1921, Mu Huating menunaikan fardu haji ke Mekah. Beliau juga mengadakan tinjauan dan penyelidikan tentang perkembangan agama Islam di negara-negara yang dilawatinya dan meneroka arah perkembangan agama Islam di China. Apabila kembali ke tanah air, Mu Huating mendermakan hartanahnya kepada masjid sebagai tempat mengadakan pendidikan agama Islam. Pada tahun 1925, beliau bersama-sama dengan beberapa orang tokoh Islam yang terkenal menubuhkan Maktab Chengda, sekolah agama Islam yang terkemuka dalam sejarah.

Masjid Utara Jinan telah beberapa kali dibaik pulih pada tahun 1806, 1850, 1932 dan 1989.

Pada tahun 2002, Persatuan Islam Shandong menubuhkan pusat latihan imam bagi imam dari pelbagai kawasan provinsi itu melanjutkan pengajian tentang agama Islam pada setiap tahun di masjid tersebut. Selain itu, pusat latihan itu menyediakan kursus tentang pengajian agama Islam dan bahasa Arab peringkat awal kepada umat Islam untuk membantu mereka lebih memahami agama.

Masjid Utara Jinan telah menubuhkan biro mencari jodoh untuk umat Islam, kursus Wusyu, kaligrafi dan lukisan. Selain itu, masjid itu giat mengadakan amal kebajikan untuk membasmi kemiskinan dan membantu kanak-kanak dari keluarga yang miskin agar dapat melanjutkan pelajaran mereka. Masjid Utara Jinan memainkan peranan yang penting dalam memelihara perpaduan bangsa dan kestabilan masyarakat di bandar Jinan.

Ramai imam yang pernah berkhidmat di Masjid Utara Jinan menjadi imam yang terkenal di China. Mereka mendidik sejumlah besar tenaga profesional yang cemerlang dalam bidang agama dan memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan agama Islam di China.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China