Masjid Selatan Jinan
2011-11-10 13:26:11 CRI

Masjid Selatan Jinan yang dipindah ke bandar Jinan pada tahun 1295 Masihi merupakan tempat beribadat penting bagi umat Islam di bandar tersebut selain tempat mengadakan pelbagai aktiviti agama. Masjid itu disenaraikan sebagai peninggalan sejarah penting di Bandar Jinan dan Provinsi Shandong.

Masjid Selatan Jinan berukuran 6,630 meter persegi sementara bangunan-bangunannya berkeluasan 2,830 meter persegi. Seluruh bangunan masjid termasuk menara azan dan ruang sembahyang menghadap ke arah timur. Bangunan-bangunan tersebut berdiri megah dan bercirikan seni bina balairung tradisional China.

Ruang sembahyang terletak di pentas yang mempunyai 12 buah tangga. Ruang tersebut luasnya 949 meter persegi dan boleh menampung 1,200 orang jemaah. Karya-karya kaligrafi yang dihasilkan oleh Maharaja Yong Zheng pada zaman Dinasti Qing serta penulis-penulis dan tokoh-tokoh Islam yang terkemuka digantung di pelbagai tempat di dalam ruang sembahyang tersebut.

Ramai imam yang pernah berkhidmat di Masjid Selatan Jinan menjadi imam yang terkenal di China. Mereka mendidik sejumlah besar tenaga profesional yang cemerlang dalam bidang agama dan memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan agama Islam di China.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Persatuan Islam Shandong dan Persatuan Islam Jinan telah beberapa kali mengadakan tilawah al-Quran di masjid tersebut. Pegawai dari Persatuan Islam China dilantik untuk menghadiri tilawah tersebut. Selain itu, Masjid Selatan Jinan telah beberapa kali mengadakan kursus agama kepada imam dan kursus bahasa Arab kepada umat Islam bagi membolehkan mereka memahami lebih mendalam tentang agama. Masjid Selatan Jinan telah menubuhkan ruang pameran adat resam Islam Jinan dan perpustakaan Islam di menara azan. Masjid itu juga mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan termasuk pameran lukisan dan khat, pameran gambar, kursus Wusyu, aktiviti beriadah, membasmi kemiskinan dan menyelamatkan bencana.

Dalam tempoh lebih 20 tahun yang lalu, Masjid Selatan Jinan telah memperoleh pelbagai anugerah seperti Masjid Cemerlang Kebangsaan, Tempat Beribadat Cemerlang di Shandong, Masjid Cemerlang Provinsi Shandong dan lain-lain. Masjid Selatan Jinan telah memberikan sumbangan yang besar untuk perpaduan bangsa, kestabilan masyarakat dan perkembangan agama Islam.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China