Masjid Selatan Xuanhua di Provinsi Hebei
2011-11-10 13:26:26 CRI

Daerah Xuanhua Bandar Zhangjiakou, Provinsi Hebei terletak di lokasi yang strategik dan menjadi rebutan pihak tentera sejak zaman dahulu. Pelbagai jenis budaya yang berasimilasi sejak beribu-ribu tahun dahulu mewujudkan budaya majmuk di kawasan tersebut. Seni Bina Masjid Selatan Xuanhua menggabungkan ciri-ciri seni bina tradisional China dan Arab.

Masjid Selatan Xuanhua dibina pada tahun 1403 Masihi dan dibaik pulih pada tahun 1523 Masihi. Pada tahun 1821, bangunan masjid yang telah rosak dan usang tidak memungkinkan umat Islam beribadat. Umat Islam tempatan yang diketuai oleh tokoh Islam terkenal sama-sama berusaha selama 32 tahun untuk membina semula masjid tersebut. Pada tahun 1911, Masjid Selatan Xuanhua sekali lagi dibaik pulih. Bahan-bahan untuk membina masjid itu amat bermutu. Ketika masjid itu dibaik pulih sekali lagi pada tahun 2007, bangunannya hanya dicat tanpa perlu dibina semula.

Bangunan Masjid Selatan Xuanhua banyak meniru seni bina tradisional China di samping seni bina Arab dan mematuhi syariat Islam.Contohnya, pada zaman dahulu bangunan di China biasanya mengarah ke selatan dan membelakangi arah utara. Tetapi bangunan masjid itu menghadap ke arah barat, iaitu arah Mekah.

Selain itu, bangunan di China pada zaman dahulu biasanya terdapat patung binatang dongeng. Di Masjid Selatan Xuanhua juga terdapat patung sedemikian, tetapi patung binatang dongeng itu tidak mempunyai bola mata. Keadaan ini menunjukkan bahawa masjid itu mengekalkan ciri-ciri seni bina tradisional China di samping mematuhi syariat Islam. Selain itu, hiasan gambar bunga dan rumput di bangunan masjid itu menggunakan huruf Jawi.

Masjid Selatan Xuanhua menunjukkan kecemerlangan seni bina China pada zaman dahulu. Umat Islam di China mengekalkan budaya tradisional China dan menerima budaya Islam dari Asia Barat sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Mereka berjaya mewujudkan budaya Islam China yang istimewa.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China