Masjid Lingtang di Provinsi Jiangsu
2011-11-10 13:26:28 CRI

Kawasan Lingtang merupakan satu-satunya mukim etnik hui yang beragama Islam di Bandar Gaoyou, Provinsi Jiangsu China. Masjid Lingtang yang disenaraikan sebagai peninggalan sejarah peringkat provinsi terletak di bahagian utara mukim tersebut. Menurut catatan sejarah, seorang imam bernama Xue Qi yang berhijrah ke mukim tersebut untuk mengembangkan agama Islam telah membina masjid itu pada tahun 1844 masihi. Masjid yang luasnya 3,500 meter persegi ini terdiri daripada ruang sembahyang, bilik wuduk, bilik imam, bilik menyembahyangkan jenazah dan taman bunga. Seni bina masjid itu bercirikan seni bina tradisional etnik Hui.

Bangunan masjid itu agak besar. Terdapat sebatang pokok ginko tua yang berusia lebih 300 dan sebuah pokok lain yang berusia lebih 100 tahun di dalam pekarangan masjid tersebut. Dalam tempoh 160 tahun yang lalu, Masjid Lingtang telah tiga kali dibaik pulih secara besar-besaran iaitu pada 1884, 1921 dan 1995 masihi.

Ekonomi di Mukim Etnik Hui Lingtang berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Masjid Lingtang turut menjadi pusat aktiviti agama bagi Mukim Lingtang dan kawasan-kawasan di sekitarnya. Pada hari kebesaran agama Islam, beribu-ribu orang umat Islam solat berjemaah dan menyambut hari kebesaran bersama-sama di masjid tersebut.

Tokoh Islam yang terkemuka dan juga pegawai kanan kerajaan China, Ismayil Aymat, duta besar lima negara Kawasan Teluk ke China serta sahabat-sahabat dan saudara seIslam dari luar negara telah mengadakan lawatan dan mengadakan aktiviti agama di Masjid Lingtang.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China