Masjid Shaowu di bandar Shaowu merupakan masjid yang terletak paling utara di Provinsi Fujian. Tiada catatan rasmi yang dapat membuktikan masa pembinaan masjid tersebut. Menurut kajian pakar tentang seni bina masjid itu, Masjid Shaowu dibina pada zaman Dinasti Ming dan dibina semula pada Dinasti Qing. Pada tahun 1957 dan 1983, pihak berkuasa menyediakan dana dua kali untuk membaik pulih masjid itu. Masjid Shaowu luasnya kira-kira tiga ribu meter persegi pada masa ini dan bangunannya bercirikan seni bina tradisional China.
Persatuan Islam Shaowu dan Persatuan Penduduk Etnik Hui Shaowu berpejabat di masjid tersebut. Masjid itu disenaraikan sebagai peninggalan sejarah peringkat bandar dan tersimpan banyak barang-barang antik seperti batu besar dari Dinasti Yuan, bekas kemenyan yang diperbuat daripada tembaga pada Dinasti Ming serta 30 jilid kitab suci bercetak ukiran kayu.
Pada tahun 1995, Kedutaan Besar Arab Saudi ke China menyumbang sedekah kepada pelbagai masjid di Provinsi Fujian. Masjid Shaowu menerima derma sebanyak RMB 60 ribu.
Pada bulan Disember 1998, Masjid Shaowu buat kali pertama mengundang imam dari provinsi lain untuk berkhidmat di masjid tersebut.
Pada bulan Disember 2001, Bandar Shaowu menjadi tuan rumah Pertandingan Angkat Berat Bandar Asia. Persatuan Islam Shaowu membantu pihak berkuasa untuk melayani atlet dan pegawai sukan yang beragama Islam dari negara-negara Asia dan menyediakan makanan halal kepada mereka. lima orang atlet dan pegawai sukan dari Iran solat berjemaah bersama-sama dengan umat Islam tempatan. Mereka amat kagum dengan Masjid Shaowu yang begitu utuh.
------Andika