Masjid Nanning, Guangxi
2011-11-10 13:26:53 CRI

Masjid Nanning merupakan satu-satunya masjid di Bandar Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China. Masjid itu mula dibina pada tahun 1607 Masihi dan dibaik pulih secara besar-besaran pada tahun 1804 Masihi. Kawasan masjid luasnya 953 meter persegi dan bangunannya berkeluasan kira-kira 400 meter persegi. Bangunan dua tingkat itu bercirikan seni bina tradisioanal Cina dan dibina dengan batu bata dan kayu.

Pada tahun 1981, Masjid Nanning dibina semula menjadi bangunan tiga tingkat. Tingkat satu ialah restoran halal dan bilik wuduk, tingkat dua ialah tempat mesyuarat, asrama imam dan pejabat. Ruang sembahyang yang boleh memuatkan lebih 100 orang solat berjemaah terletak di tingkat tiga sementara menara azan dibina di bumbung.

Lebih 2,700 penduduk etnik Hui yang beragama Islam tinggal secara berkelompok di sekitar Masjid Nanning. Terdapat banyak peninggalan sejarah seperti tugu peringatan pembinaan semula masjid masih tersimpan di dalam masjid itu.

Pada tahun 1988, Masjid Nanning disenaraikan sebagai masjid cemerlang di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi dan masjid cemerlang kebangsaan.

Persatuan Islam Nanning yang ditubuhkan pada tahun 1982 berpejabat di masjid itu. Persatuan tersebut dianggotai 15 orang ahli, seorang Pengerusi dan dua orang Naib Pengerusi.

Restoran Islam di tingkat satu masjid itu amat memudahkan umat Islam tempatan dan umat Islam dari kawasan lain yang datang beribadat mendapatkan makanan.

Masjid Nanning menyediakan kursus pengajian al-Quran untuk mendidik imam generasi muda. Selain itu, jawatankuasa masjid itu juga bertanggungjawab untuk menyunting buku Sejarah Agama Islam di Nanning dan Sejarah Etnik Hui di Nanning.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China