Masjid Utara Bandar Chifeng
2011-11-10 13:27:07 CRI

Masjid Utara Chifeng yang terletak di Daerah Hongshan, Bandar Chifeng, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam dibina pada tahun 1739 Masihi. Pada zaman itu, hanya 40 hingga 50 keluarga yang beragama Islam sejak turun-temurun tinggal di bandar tersebut. Encik Zhang Yueming mewakili umat Islam di bandar tersebut memohon sebidang tanah daripada putera dan bangsawan Mongolia untuk membina sebuah masjid. Pada masa itu, Masjid Utara Chifeng amat kecil dan terdiri daripada lima bilik sahaja termasuk tiga bilik menjadi ruang sembahyang, sebuah bilik wuduk dan sebuah bilik imam.

Pada tahun 1742 Masihi, lebih sepuluh keluarga yang beragama Islam dari Provinsi Shandong dan Hebei berhijrah ke Bandar Chifeng. Seorang tokoh Islam bernama Ma Fen mengumpulkan sedekah untuk membina semula masjid tersebut. Beliau mengundang arkitek terkenal yang telah berjaya membina masjid besar di Bandar Raya Shenyang untuk mereka bentuk masjid baharu.

Projek membina semula Masjid Utara Chifeng berlangsung selama empat tahun dan siap pada tahun 1747 Masihi. Bangunan masjid itu dibina dengan menggunakan kayu yang berkualiti tinggi dan amat kukuh. Selepas tahun 1958 Masihi, pihak-pihak yang berkenaan telah membaik pulih masjid tersebut.

Kini, Masjid Utara Chifeng merupakan masjid yang dilindungi paling baik dan paling besar di bandar tersebut. Pada 4 September 2006, Masjid Utara Chifeng disenaraikan sebagai peninggalan sejarah peringkat provinsi oleh pihak berkuasa Wilayah Autonomi Mongolia Dalam.

Pada masa ini, pihak berkuasa tempatan telah memperuntukkan dana sebanyak RMB 1.8 juta yuan untuk membaik pulih masjid tersebut lagi. Projek itu akan menjadi projek membaik pulih yang paling besar sejak masjid itu dibina.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China