Masjid Kaunti Dolon, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam
2011-11-10 13:27:11 CRI

Kawasan Dolon terletak di bahagian tengah Wilayah Autonomi Mongolia Dalam merupakan kaunti yang paling dekat dengan Beijing, ibu negara China. Menurut bancian pada tahun 2003, kira-kira 100 ribu orang penduduk daripada tujuh suku kaum tinggal di kaunti tersebut. Bentuk muka bumi yang berbagai-bagai, ekologi yang baik dan tamadun yang bersejarah menjadikan Dolon sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Selepas tahun 1691 Masihi, ekonomi dan perdagangan di kawasan Dolon semakin makmur. Sejumlah besar penduduk etnik Hui yang beragama Islam sejak turun-temurun dari Provinsi Hebei, Shandong, Henan, Shaanxi dan Ningxia berhijrah ke kawasan tersebut untuk membuka restoran halal dan pusat penyembelihan kambing dan lembu. Sehingga tahun 1908 Masihi, kawasan Dolon telah mempunyai lima buah masjid.

Masjid Selatan Dolon merupakan masjid yang paling awal di kawasan tersebut. Masjid itu dibina oleh saudagar etnik Hui dan luasnya kira-kira 750 meter persegi. Ruang sembahyang luasnya 245 meter persegi.

Masjid Barat Dolon dibina pada tahun 1879 Masihi. Masjid itu dibina oleh rombongan pedagang Islam yang menaiki unta dari Ningxia dan Gansu. Luasnya 780 meter persegi dan bangunannya bercirikan seni bina tradisional Cina. Pada tahun 1995, umat Islam tempatan telah mengumpulkan derma bagi membaik pulih masjid tersebut.

Masjid Tengah yang dibina pada tahun 1908 Masihi merupakan satu-satunya masjid yang masih dibuka kepada awam di Dolon pada masa ini. Luasnya 920 meter persegi. Pada tahun 1989 Masihi, umat Islam tempatan mengumpulkan derma untuk membaik pulih masjid tersebut.

Masjid Utara merupakan masjid yang terbesar dan dipelihara paling baik di kawasan Dolon. Masjid itu dibina oleh pedagang kambing dan lembu Islam dari Ningxia dan Gansu pada kira-kira tahun 1795 Masihi dan dibaik pulih secara besar-besaran pada tahun 1798 Masihi.

Masjid Timur dibina pada tahun 1869 Masihi. Seramai 470 orang penganut Islam tinggal secara berkelompok di sekitar masjid tersebut.

Kehadiran lima buah masjid di kaunti ini menunjukkan bahawa jumlah umat Islam di Dolon agak ramai, kebudayaan dan ekonominya amat makmur pada zaman dahulu.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China