Masjid Ulanhot, Mongolia Dalam
2011-11-10 13:27:12 CRI

Pada zaman dahulu, tiada penduduk yang beragama Islam tinggal di kawasan Ulanhot, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam China. Pada tahun 1931 Masihi, sejumlah umat Islam dari Henan, Shandong dan Hebei berhijrah ke bahagian timur laut China. Pada tahun 1933, lebih 30 keluarga umat Islam berhijrah ke kawasan Ulanhot. Mereka mewakafkan 3 buah bilik sebagai surau sementara. Pada tahun 1938, penduduk Islam di Ulanhot telah bertambah kepada lebih 120 buah keluarga dan jumlah umat Islam pun meningkat kepada lebih 300 orang. Surau yang kecil tidak dapat menampung begitu ramai penganut Islam untuk beribadat. Umat Islam tempatan telah membina semula surau tersebut dan menjadikannya sebagai masjid yang luasnya kira-kira 1,500 meter persegi. Mereka mengundang imam dari Bandar Dandong, Liaoning dan menubuhkan Jawatankuasa Umat Islam Ulanhot.

Semasa perang pembebasan China, umat Islam di Ulanhot menjadikan kawasan masjid sebagai hospital untuk merawat askar Pasukan Tentera Pembebasan Rakyat yang cedera.

Pada 27 Ogos 1952, kerajaan pusat menghantar rombongan ke Ulanhot untuk mengziarahi umat Islam tempatan dan umat Islam tempatan telah menghidangkan persembahan yang menarik untuk rombongan itu. Pada bulan Mei 1953, Dua orang imam dari Masjid Ulanhot diberikan peluang ke Beijing, ibu negara China untuk menyertai majilis penubuhan Persatuan Islam China dan Persatuan Kemajuan Kebudayaan Etnik Hui..

Pada bulan Mei 1979, Masjid Ulanhot menubuhkan Jawatankuasa Pentadbiran dan mengundang imam dari Provinsi Shandong. Pihak berkuasa menyediakan dana untuk membaik pulih ruang sembahyang dan bilik wuduk.

Pada bulan Julai 1987, Masjid Ulanhot menubuhkan syarikat pengeluar dan kedai makanan halal yang luasnya 250 meter persegi. Syarikat itu agak cemerlang dan menyediakan pembiayaan untuk masjid serta menyediakan peluang kerja kepada umat Islam yang muda.

Pada masa ini, Masjid Ulanhot merupakan satu-satunya masjid di bandar tersebut dan kawasan-kawasan di sekitarnya. Kira-kira tiga ribu orang umat Islam di kawasan tersebut selalu datang ke masjid tersebut untuk beribadat.

------Andika

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China