Masjid Qingshan di Kaunti Puan merupakan masjid yang agak terkenal di Provinsi Guizhou China. Sebelum tahun 1400 Masihi, sejumlah tentera yang beragama Islam ditempatkan di Qingshan dan keturunan mereka tetap tinggal di kawasan tersebut. Sehingga awal Dinasti Qing (abad ke-16), sebuah kampung Islam yang didiami oleh penduduk etnik Hui telah dibina di kawasan tersebut. Mereka telah membina beberapa buah surau tempat menunaikan kewajipan. Pada awal tahun 1900-an, terdapat lebih 240 keluarga Islam tinggal di kawasan Qingshan. Dengan pimpinan tokoh Islam yang terkemuka, umat Islam tempatan telah membina sebuah masjid yang besar pada Februari 1909 Masihi, iaitu Masjid Qingshan pada masa ini. Bangunan masjid itu luasnya 778 meter persegi termasuk ruang sembahyang, asrama imam, bilik kuliah, bilik wuduk, bilik menguruskan jenazah dan ruang tetamu. Ruang sembahyang luasnya 206 meter persegi dan bercirikan seni bina tradisional Cina.
Pada tahun 1910 Masihi, Masjid Qingshan menubuhkan lembaga pengarah yang terdiri daripada seorang pengerusi dan empat orang pengarah yang masing-masing bertanggungjawab terhadap urusan agama, pendidikan, kewangan dan hal ehwal awam. Lembaga itu giat mengembangkan pendidikan Islam dengan menyediakan kursus pengajian kitab al-Quran dan Hadis. Pada tahun 1928 Masihi, Masjid Qingshan menubuhkan sekolah rendah Islam yang menyediakan kursus pengajian bahasa Mandarin, Arab, matematik, sejarah, geografi dan senaman.
Pada tahun 1985 Masihi, Masjid Qingshan disenaraikan sebagai peninggalan sejarah oleh pihak berkuasa kawasan bahagian barat daya Provinsi Guizhou. Pada masa ini, lebih 2,800 orang umat Islam tinggal secara berkelompok di sekitar masjid tersebut. Dua orang imam dan tujuh orang Pengarah dari Lembaga Pengarah Pentadbiran Masjid berkhidmat untuk umat Islam tempatan. Selain itu, terdapat 73 jilid kitab al-Quran edisi bahasa Arab dan 6 jilid edisi bahasa Parsi tersimpan di Masjid Qingshan.