Masjid Shanxiang, Zhenjiang, Provinsi Jiangsu
2011-11-10 13:27:24 CRI

Bandar Zhenjiang di Provinsi Jiangsu merupakan salah sebuah kawasan tempat perkembangan agama Islam paling awal di China.

Pada awal Dinasti Tang (kira-kira abad ke-6), sejumlah saudagar Islam dari kawasan Arab dan Parsi berhijrah ke Zhenjiang untuk berdagang dan membina masjid yang paling awal di kawasan tersebut.

Pada zaman Dinasti Song dan Dinasti Yuan, jumlah umat Islam di kawasan Zhenjiang meningkat secara besar-besaran. Pada zaman Dinasti Ming, kawasan Islam yang didiami oleh penduduk etnik Hui secara berkelompok telah wujud di kawasan tersebut.

Pada akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20, umat Islam di kawasan Zhenjiang amat cemerlang dalam bidang perdagangan.

Masjid Shanxiang merupakan masjid yang terkenal di Bandar Zhenjiang dan disenaraikan sebagai salah satu daripada 100 masjid yang terkenal di China. Masjid itu mula dibina pada kira-kira tahun 1662 dan pernah musnah dalam peperangan dan dibina semula oleh umat Islam tempatan.

Masjid Shanxiang yang luasnya kira-kira dua ribu meter persegi bercirikan seni bina tradisional Cina. Manakala, hiasan di dalam bangunan bercirikan seni bina Arab.

Pendidikan Islam di Masjid Shanxiang amat terkenal di dalam dan luar negara pada masa dahulu. Sekolah Pengajian Tinggi Islam Masjid Shanxiang ditubuhkan pada tahun 1903 Masihi. Pada tahun 1936 pula, masjid itu mula menerbitkan "Akhbar Etnik Hui" yang memperkenalkan ajaran agama Islam dan keadaan umat Islam di pelbagai tempat di China.

Dalam tempoh perang antipencerobohan Jepun, Masjid Shanxiang menyediakan pusat bantuan pelarian dan menyediakan bilik darjah bagi sekolah rendah Islam yang bangunannya musnah dalam pengeboman oleh tentera Jepun.

Setelah perang antipencerobohan Jepun berakhir, Masjid Shanxiang mengumpulkan sejumlah saudagar Islam untuk menyediakan klinik kebajikan Islam yang menyediakan rawatan yang percuma kepada pesakit yang miskin.

Pada beberapa tahun kebelakangan ini, Masjid Shanxiang berjaya menjalankan aktiviti-aktivi agama seperti latihan untuk imam pertengahan umur dan muda, forum perkembangan Islam di Jiangsu selama 1350 tahun serta menyambut tetamu kehormat Islam dari luar negara.

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China