Masjid Taipingfang dibina pada tahun 1928 Masihi dan merupakan satu-satunya masjid di Bandar Suzhou, Provinsi Jiangsu pada masa ini. Pada tahun 1924, imam Ma Mingde mengetuai umat Islam tempatan yang bekerja dalam sektor penyembelihan dan pengangkutan merancang untuk membina sebuah masjid di Bandar Suzhou. Beliau juga mengumpulkan derma daripada umat Islam di Bandar Shanghai, Nanjing dan Yangzhou di sekitar Bandar Suzhou serta usahawan Islam yang terkemuka untuk membina masjid tersebut.
Pada tahun 1978, Masjid Taipingfang dibina semula dan projeknya selesai pada tahun 1982. Bangunan baharu masjid bercirikan seni bina Arab dan mempunyai dua tingkat. Tingkat satu ialah bilik imam, tempat wuduk seluas 80 meter persegi dan ruang sembahyang yang luasnya 120 meter persegi. Tingkat atas ialah ruang tetamu dan jabatan Persatuan Islam Bandar Suzhou. Setelah itu, pihak berkuasa menyediakan peruntukan bagi membaik pulih masjid tersebut.
Pada tahun 2001, Sidang Menteri Kewangan APEC diadakan di Bandar Suzhou. Pihak berkuasa memperuntukkan RMB sejuta yuan bagi membaik pulih lagi masjid tersebut.
Masjid Taipingfang ini terletak di pusat Bandar Suzhou. Seramai 100 hingga 200 orang umat Islam solat di masjid itu tiap-tiap hari. Pada hari kebesaran Islam, hampir seribu orang umat Islam solat berjemaah di masjid itu.
Terdapat 12 buah tugu yang dibina pada zaman Dinasti Ming dan Qing masih disimpan di Masjid Taipingfang. Tugu-tugu tersebut amat penting bagi pengajian sejarah perkembangan agama Islam di bandar tersebut.
Naib Pengerusi Persatuan Islam Suzhou, Yusuf Ma Xiaolong berkata, Masjid Taipingfang tidak dapat menampung umat Islam yang semakin bertambah di bandar itu untuk beribadat. Sebuah masjid yang lebih besar serta sebuah restoran Islam akan dibina di sebelah timur kawasan Masjid Taipingfang pada tahun hadapan. Projek itu memerlukan kira-kira RMB 30 juta yuan dan dijangka selesai dibina pada tahun 2013. Menurut Yusuf, Suzhou merupakan bandar yang terbuka di kawasan pantai bahagian tenggara China. Masjid baharu yang lebih moden akan memudahkan umat Islam dari dalam dan luar negara beribadat.