Pekan Matou yang terletak di bahagian barat kaunti Tancheng, bandar Linyi, provinsi Shandong, China merupakan pekan yang penting dari segi lalu lintas dan perdagangan sejak zaman dahulu. Pekan itu juga menjadi kawasan kediaman umat Islam di kaunti tersebut. Pada zaman Dinasti Tang (618-907 Masihi), umat Islam mula berhijrah ke kawasan Matou untuk berdagang. Pada awal Dinasti Qing, sejumlah besar umat Islam berhijrah ke kawasan Matou dari pelbagai tempat di China. Makanan halal di pekan Matou amat terkenal di provinsi Shandong sejak zaman dahulu hingga sekarang.
Masjid Matou dibina pada tahun 1405 Masihi. Pada masa itu, Masjid Matou amat kecil dan saiznya seperti sebuah surau. Pada zaman Maharaja Qianlong (1661-1722 Masihi), imam Masjid Matou telah mengumpulkan sumbangan untuk membina semula dan memperluas masjid tersebut.
Kawasan Masjid Matou luasnya lebih enam ribu meter persegi. Bangunan yang luasnya 870 meter persegi bercirikan seni bina zaman Dinasti Ming dan Qing. Ruang sembahyang pada masa ini dibina pada zaman Maharaja Yongzheng (1678-1735 Masihi). Bentuknya empat segi, panjang dan lebarnya masing-masing 15 meter. Menara melihat anak bulan dibina pada tahun 1983.
Pada tahun 2002, Masjid Matou disenaraikan sebagai peninggalan sejarah yang penting di bandar Linyi, provinsi Shandong. Pada Disember 2012 pula, Masjid Matou menerima anugerah "tempat agama yang harmoni kebangsaan" oleh Jabatan Hal-Ehwal Agama Negara. Masjid itu merupakan satu-satunya masjid yang memperoleh hadiah tersebut di bandar Linyi.
------Andika