Ketika berlakunya pertembungan sains dan teknologi serta budaya antara Eropah dengan Asia pada zaman dahulu, nenek moyang penduduk etnik Uygur telah mencipta kaedah perubatan sendiri. Huang Di Nei Jing, buku perubatan yang tersohor di China pada zaman dahulu telah mencatat kaedah perubatan yang dipelopori oleh penduduk di barat laut China.
Sejak Dinasti Han, perubatan etnik Han dan karya perubatan dari India mula tersebar di kawasan Xinjiang. Pada zaman Dinasti Song, pelbagai jenis bahan perubatan dari Turpan dan Tarim, Xinjiang pula dihantar ke China.
Perubatan tradisional Uygur sangat menekankan persekitaran yang baik, makanan dan minuman yang seimbang, kerja yang sesuai dan rehat yang mencukupi. Menurut kaedah perubatan tersebut, perkara-perkara yang ditekankan itu berkait rapat dengan kesihatan. Perubatan tradisional Uygur mempunyai cara diagnosis yang hampir sama dengan perubatan tradisional China.
Selain itu, perubatan tradisional Uygur mempunyai cara rawatan sendiri yang istimewa. Contohnya, terdapat sejenis rawatan yang menggunakan pasir halus di kawasan Turpan. Cara rawatan tersebut telah popular di Turpan selama lebih 100 tahun. Ketika sengal tulang atau sakit tulang belakang atau paha, penduduk tempatan akan menggunakan pasir halus untuk merawat kesakitan tersebut.
Pada masa ini, klinik rawatan pasir telah ditubuhkan di Turpan. Pesakit yang menerima rawatan di sini datang dari seluruh negara, malah ada yang dari luar negeri. Bulan Jun hinga akhir Ogos merupakan musim yang paling baik untuk menjalani rawatan pasir.
Kini, badan-badan berkenaan telah menghasilkan sejumlah besar dokumen tentang perubatan tradisional Uygur dan menubuhkan sekolah-sekolah perubatan.