Dombura, Alat Muzik Etnik Kazak Yang Unik
2016-08-08 12:31:57 CRI

Pesta Kebudayaan Dombura ke-3 telah dirasmikan di Tacheng, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, China pada 22 Mei lalu.

Seribu pemain Dombura bermain alat muzik itu bersama-sama semasa berlangsungnya pesta kebudayaan tersebut. Mulatibieke Heizhati, 54 tahun, turut menyertai persembahan kali ini.

Beliau merupakan guru yang sudah bersara. Seperti kebanyakan penduduk etnik Kazak yang lain, beliau berminat dengan alat muzik Dombura sejak kecil lagi.

Alat muzik itu telah menjadi sebahagian dalam kehidupan Mulatibieke. Beliau sentiasa merebut peluang untuk bermain alat muzik itu sama ada semasa perjumpaan sosial, majlis perkahwinan, festival atau persembahan.

Semua anggota keluarga Mulatibieke mahir bermain Dombura. Beliau membesar dengan mendengar bunyi alat muzik itu hampir setiap hari. Ketika berusia 16 tahun, beliau mula mengikuti pengajian muzik secara profesional dengan seorang pemuzik.

Selain bermain Dombura, Mulatibieke amat tertarik dengan bidang gubahan muzik. Setakat ini, beliau telah menghasilkan 78 lagu. Lebih 10 lagu yang dihasilkan oleh beliau telah disenaraikan dalam koleksi lagu Dombura. Pada ketika ini, Mulatibieke telah mempunyai kira-kira 20 pelajar.

Beliau berharap agar alat muzik itu dapat menyebarkan sejarah dan budaya etnik Kazak di China kepada seluruh dunia.

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China