Cari:
Zaidah: Perjalanan ke Daerah Timur Laut
2015-02-11 14:50:35 Agensi Berita Xinhua China Cetak

 Pada 14 Januari yang lalu, Jabatan Pakar Asing, Radio Antarabangsa China telah mengadakan sesi lawatan ke Daerah Huairo yang terletak di bahagian timur laut Beijing. Sebanyak 26 orang pakar asing telah menyertai sesi lawatan tersebut dengan diiringi beberapa orang staf Radio Antarabangsa China yang lain sebagai urus setia. Destinasi lawatan kami yang pertama adalah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Tasik Yanqi. Di Pusat Konvensyen Antarabangsa Tasik Yanqi inilah telah diadakan Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasific atau lebih dikenali sebagai Asia Pacific Economic Cooperation (APEC).

Dewan Ji Xian ialah tempat berlangsungnya mesyuarat tersebut. Sekiranya binaan di luar dewan menggunakan besi dan batu sebagai binaan asas, percayalah anda akan berasa seolah-olah berada di tempat lain apabila memasuki sahaja dewan tersebut. Melangkah masuk sahaja ke Dewan Ji Xian anda akan terpegun melihat reka bentuk dalaman dewan tersebut yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional Cina, namun penuh dengan gaya yang serba mewah. Keseluruhan reka bentuk dalaman dewan tersebut dibina menggunakan kayu yang bermutu tinggi. Keadaan ini bersesuaian dengan taraf dewan tersebut yang menjadi tempat pertemuan dan perbincangan pemimpin tertinggi dunia. Oleh itu, ciri-ciri warisan dan budaya Cina seharusnyalah diperkenalkan dan ditonjolkan pada binaan dewan tersebut.

Di bahagian tengah dewan terdapat satu bulatan besar meja dengan 21 buah kerusi yang mewakili 21 buah negara anggota APEC. Yang unik dan istimewanya tentang meja di dewan mesyuarat tersebut ialah meja tersebut diperbuat daripada sejenis kayu khas yang dapat menghalang bayang-bayang. Sekiranya meja tersebut tidak menggunakan kayu khas, sinaran cahaya daripada candelier dewan tersebut akan memantul ke meja, lalu menghasilkan bayang-bayang pada wajah pemimpin negara yang sedang bermesyuarat. Di atas meja tersebut pula selain disediakan keperluan untuk mesyuarat, turut disediakan dua butang yang berwarna merah dan biru. Butang merah digunakan untuk memanggil pegawai atasan, manakala butang berwarna biru digunakan untuk memanggil pegawai atase. Di hadapan setiap meja, iaitu di bahagian tengah terdapat 5 buah monitor yang digunakan untuk melihat wajah pemimpin yang sedang berucap.

Selain itu, keunikan dan keistimewaan dewan tersebut juga terserlah pada rekaan candeliernya. Candelier yang bertatahkan kristal Swarovski seberat 2.2 tan itu berbentuk seakan-akan bunga teratai sebagai simbolik kepada kedamaian. Batu jed pula menghiasi permukaan siling dewan dengan ukiran empat simbol masyarakat Cina, iaitu naga, harimau, teratai dan burung phoenix. Manakala, warna biru yang berada di tengah-tengah jed pula diumpamakan sebagai langit yang bermaksud kerjasama yang sangat baik.

Tidak ketinggalan juga hiasan-hiasan lain seperti karpet dan ukiran kayu pada dinding dewan tersebut sangat eksklusif dan mengagumkan.


1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China