Cari:
• Istana Kuno
Istana Kuno yang juga dikenali sebagai Kota Larangan Beijing merupakan istana yang didiami oleh 24 orang maharaja pada zaman Dinasti Ming dan Dinasti Qing. Sebagai kompleks bangunan zaman purba yang paling luas kawasannya dan yang dipelihara paling baik di dunia, ia disenaraikan sebagai Warisan Budaya Dunia oleh UNESCO pada tahun 1988. Kota Larangan Beijing yang luasnya 720 ribu meter persegi dan yang mempunyai lebih 9 ribu buah bilik ini dikelilingi tembok setinggi berbelas-belas meter dan parit pelindung selebar 52 meter.
• Tembok Besar di Badaling
Tembok Besar China yang menjadi lambang bangsa China ini panjangnya 6700 kilometer dan merupakan salah satu binaan yang paling menakjubkan di dunia. Tembok yang mula dibina pada tahun ke-18 Hongzhi (tahun 1505) ini terletak di bahagian selatan Kaunti Yanqing. Ia merupakan sebahagian daripada projek pertahanan tentera Dinasti Ming yang dipelihara keutuhannya sampai sekarang. Terdapat satu peribahasa China yang menyatakan bahawa orang yang tidak sampai ke Tembok Besar China bukanlah pahlawan yang sebenar.
• Lapangan Tian'anmen
Gerbang besar Tian'anmen yang mula dibina pada tahun 1417 merupakan pintu utama istana Dinasti Ming dan Dinasti Qing. Nama asalnya ialah Gerbang Cheng Tian yang bererti "gerbang syurga yang aman". Gerbang itu pernah dua kali musnah akibat terbakar. Selepas dibina semula pada tahun 1651, namanya ditukar menjadi Gerbang Tian'anmen. Ia juga diberi gelaran hormat sebagai "Gerbang Negara". Gerbang Tian'anmen merupakan tempat diadakan upacara penting pada zaman Dinasti Ming dan Dinasti Qing. Sebagai bangunan tipikal seni bina purba China, ia memperlihatkan kebijaksanaan rakyat China pada zaman kuno.
• Taman Tiantan
Taman Tiantan yang bermaksud "Kuil Kayangan" ini merupakan kompleks bangunan upacara sembahyang yang masih wujud dan dipelihara dengan baik. Taman ini bukan sahaja paling utuh dan paling besar di China, malah di dunia.
• Istana Musim Panas
Istana Musim Panas atau juga dikenali sebagai Taman Yihe merupakan taman kuno yang terbesar dan masih terpelihara dengan baik hingga ke masa ini. Ia terletak di Daerah Haidian, bahagian barat laut bandar Beijing, kira-kira 20 kilometer dari Lapangan Tian'anmen.
• Taman Beihai
Taman Beihai yang terletak di pusat bandar Beijing merupakan salah sebuah taman diraja kuno yang paling bersejarah dan dipelihara dengan baik di China. Luasnya 71 hektar.
• Makam Diraja Dinasti Ming
Ming Tomb, iaitu Makam Diraja Dinasti Ming yang terletak di kawasan pergunungan Tianshou, Daerah Changping Beijing ialah panggilan umum kepada 13 buah makam diraja dari zaman Dinasti Ming. Luasnya makam ini 120 kilometer persegi.
• Kuil Lama Yonghegong Beijing
Kuil Lama Yonghegong merupakan kuil agama Buddha mazhab Tibet yang terkenal. Kuil yang luas lantainya mencatat lebih 60 ribu meter persegi ini mempunyai seribu buah dewan dan rumah. Kuil Lama Yonghegong asalnya merupakan rumah yang dibina oleh Maharaja Kangxi Dinasti Qing untuk putera mahkotanya pada tahun 1694. Pada tahun 1723, putera mahkota tersebut naik takhta dan menjadi Maharaja Yongzheng. Baginda telah berpindah ke istana di Kota Larangan dan bangunan asalnya itu telah menjadi Kuil Lama Yonghegong agama Kuning.
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China