Cari:
Punca Kemelut Syria Semakin Kalut
2012-08-08 15:18:48 Agensi Berita Xinhua China Cetak

Pemecatan Perdana Menteri Syria, Riyad Farid Hijab oleh Presiden Bashar al-Assad pada 6 Ogos lepas telah mendapat perhatian seluruh masyarakat antarabangsa. Sebelum ini, utusan khas PBB-Liga Arab bagi krisis Syria, Kofi Annan telah mengumumkan peletakan jawatannya pada akhir bulan ini. Kedua-dua peristiwa tersebut menunjukkan ketegangan di Syria semakin meruncing.

Pada masa ini, rejim Bashar sedang menghadapi masalah dalaman dan luaran, iaitu pembelotan segelintir pegawai kanan, anggota tentera dan diplomatnya, serta sokongan Barat kepada pihak pembangkang Syria.

Di samping itu, pertempuran sengit antara pembangkang bersenjata Tentera Pembebasan Syria dengan tentera kerajaan terus berlaku di Aleppo dan konflik itu juga merebak ke bandar-bandar yang lain. Hal ini ditambah buruk lagi dengan sekatan ekonomi Barat yang mengakibatkan kemerosotan ekonomi yang berterusan di Syria. Kini, rakyat Syria hidup dalam kesengsaraan. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sejumlah besar rakyat negara itu telah meninggalkan kampung halaman mereka dan terpaksa menjadi pelarian.

Peletakan jawatan Annan ekoran gangguan Barat terhadap usaha damainya juga merupakan tamparan hebat kepada penyelesaian politik krisis Syria.

Baru-baru ini, Agensi Reuters mendedahkan bahawa pada awal tahun ini, Presiden A.S., Barack Obama telah memberi mandat secara rahsia kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk menyediakan pelbagai sokongan kepada pihak pembangkang Syria. Campur tangan secara terang-terangan itu memburukkan lagi konflik di Syria.

Jelas bahawa krisis Syria bertambah buruk dewasa ini ekoran sinergi negara Barat dan pihak pembangkang Syria. Tanpa sokongan Barat, puak pembangkang Syria tidak mungkin mempunyai kekuatan untuk berkonfrontasi dengan tentera kerajaan, dan juga tidak berani menolak pelan damai Annan.

Situasi Syria telah menimbulkan kebimbangan ramai orang. Pertama, "laungan" Barat yang mahukan campur tangan ketenteraan semakin lantang, ditambah pula dengan kemasukan pertubuhan keganasan seperti Al-Qaeda ke dalam Syria, menjadikan isu Syria lebih rumit. Kedua, lokasi geografi Syria amat sensitif, kerana negara itu bersempadan dengan Israel, Turki, Lubnan, Jordan dan Iraq. Jikalau konflik di Syria merebak ke negara-negara tersebut, situasi di seluruh Asia Barat akan semakin bergolak. Ketiga, isu agama di Syria agak kompleks. Percanggahan antara pelbagai mazhab nampaknya tidak berkesudahan. Keadaan ini akan menyebabkan kemelut dalaman yang berpanjangan di negara itu.

Walaupun kemelut Syria semakin kalut, namun peluang bagi penyelesaian krisis secara damai masih belum tutup sepenuhnya. Kini, misi pemerhati Majlis Keselamatan PBB masih terus bertugas di Syria. Sama ada tempoh mandat mereka dapat dilanjutkan selepas 19 Ogos merupakan satu ujian bagi masyarakat antarabangsa.

Krisis Syria sedang berada dalam tempoh yang kritikal. Negara itu diharap dapat segera balik ke landasan yang betul dan menyelesaikan krisisnya melalui saluran politik supaya rakyat Syria dapat melepaskan diri daripada kesengsaraan peperangan dan kembali semula ke kampung halaman mereka dengan secepat mungkin.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China