Ketua Jabatan Kumpulan Pembaharuan Sistem Kehakiman Pusat Parti Komunis China(PKC), Jiang Wei semalam memperincikan inisiatif utama dalam bidang kehakiman yang digariskan dalam keputusan Sidang Pleno Ke-4 Jawatankuasa Pusat Ke-18 PKC yang diadakan pada 20 hingga 23 Oktober lalu di Beijing. Jiang berkata, sidang tersebut memutuskan untuk memperdalam pembaharuan sistem urus tadbir kehakiman dan mekanisme pengendalian kuasa kehakiman. Hal ini menunjukkan masyarakat amat menanti-nantikan keadilan dan pembaharuan kehakiman. Beliau percaya, pentadbiran China mengikut undang-undang akan mendapat pengiktirafan dunia.
Baru-baru ini, keputusan Sidang Pleno Ke-4 Jawatankuasa Pusat Ke-18 PKC yang menggalakkan sepenuhnya pentadbiran mengikut undang-undang mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Keputusan tersebut yang buat julung kalinya dalam sejarah PKC memfokuskan pentadbiran mengikut undang-undang, mengoptimumkan pengagihan kuasa kehakiman, menggalakkan pembaharuan sistem litigasi, menjamin penglibatan rakyat dalam kehakiman serta mempertingkatkan jaminan kehakiman bagi hak asasi manusia dan penyeliaan terhadap kegiatan kehakiman.
Kini, dalam bidang kehakiman wujudnya ketidakteraturan, ketidakadilan dan ketidakjujuran, dan kegiatan mengganggu urusan kehakiman menjadi tumpuan rakyat China. Dalam pada itu, Jiang berkata, pembaharuan berkenaan telah menggariskan langkah-langkah praktikal untuk menangani isu-isu tersebut.
Menurut keputusan tersebut, penggubalan undang-undang seharusnya berinisiatif memenuhi keperluan pembaharuan dan pembangunan sosioekonomi, sekali gus merealisasikan persepaduan perundangan dan dasar pembaharuan berkenaan. Jiang berkata, pembaharuan kehakiman bertujuan untuk menjamin pelaksanaan perlembagaan dan undang-undang negara secara betul. Pembaharuan yang menjejaskan kedaulatan undang-undang tidak akan dibenarkan.
Jiang Wei menegaskan pentingnya membina sistem kehakiman berdasarkan keadaan sesebuah negara. Selepas mengkaji dan meneroka selama 65 tahun, Chian telah menemui jalan pentadbiran sosialis yang bercirikan China. Kini, dunia telah mengiktiraf model pertumbuhan ekonomi China, model pentadbiran China yang mengikut undang-undang dipercayai akan mendapat pengiktirafan dunia.