Cari:
Malaysia, Perancis Bergembleng Banteras IS
2014-11-06 13:19:38 CRI Cetak

Menteri Pertahanan Malaysia, Dato' Seri Hishammuddin Hussein selepas ditemui rakan sejawatnya dari Perancis, Jean-Yves Le Drian di Kuala Lumpur Selasa lalu menyatakan bahawa kedua-dua negara itu mencapai keputusan sebulat suara tentang isu berkongsi sumber risikan yang berkaitan dengan keganasan bagi mengekang kumpulan militan Negara Islam (IS).

Sejak September lalu, Perancis melibatkan diri dalam operasi serangan udara yang diketuai oleh AS. Manakala, Malaysia sentiasa komited menghalang kumpulan pelampau itu serta ideologinya daripada menyusup masuk ke negara itu. Ditinjau dari situasi semasa, Malaysia dan Perancis tidak mungkin melancarkan operasi ketenteraan bersama, tetapi boleh bermula dari pertukaran risikan yang dilihat cara kerjasama yang paling berkesan.

Pemikiran ekstrem IS sudah agak lama tersebar luas menerusi media sosial di Malaysia, sehinggakan orang Islam di negara itu berturut-turut bertolak ke Syria untuk melibatkan diri dengan kegiatan keganasan atas alasan berjihad. Keadaan ini merunsingkan fikiran kerajaan Malaysia yang sentiasa mendukung konsep "bersederhana". Dengan demikian, negara itu mengharapkan kuasa-kuasa Barat seperti Perancis yang terlibat dalam operasi memerangi IS dapat menawarkan risikan berkenaan kepadanya.

Bagi pihak Perancis, tindakan membantu Malaysia mencegah penyebaran ideologi ekstremis di negara itu dan menghalang anasir pelampau menyertai IS dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban yang dipikul dunia Barat. Yang lebih penting adalah Perancis melihat pengaruh Malaysia di masyarakat Islam dan persada antarabangsa semakin kuat.

Menteri Pertahanan Perancis, Jean-Yves Le Drian menyifatkan agama Islam sebagai terbuka dan sederhana. Namun, segelintir anasir pelampau yang melakukan kegiatan keganasan menjatuhkan imej agama itu di mata dunia. Selaku negara Islam, konsep "bersederhana " yang didukung oleh Malaysia besar maknanya dalam usaha menumpaskan keganasan.

Malaysia memenangi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bulan lalu. Konsep "bersederhana" yang dihuraikan dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat sambutan baik dalam Perhimpunan Agung PBB. Dua hari yang lalu, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi membincangkan isu melancarkan operasi pembanterasan IS dengan Naib Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean dalam suatu mesyuarat di Perancis. Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan Malaysia juga menyatakan, usaha bersama bagi membendung penyebaran pengaruh IS di negara ASEAN bakal dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan. Selepas mempertimbangkan semua unsur tersebut, Perancis yang mahu mengekalkan kerjasama dengan negara seumpama itu pasti akan membawa lebih banyak faedah, bukanlah hanya dalam bidang antikeganasan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China