Cari:
Malaysia Isytihar MH370 Satu Kemalangan
2015-01-30 11:41:21 CRI Cetak

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia, Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengisytiharkan semua 239 penumpang dan anak kapal MH370 milik Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dianggap terkorban pada sidang media di Putrajaya semalam.

Semua pihak telah berusaha mencari dan memburu setiap petunjuk berwibawa serta mengkaji semula semua data yang ada. Walaupun semua usaha ini dilakukan sejak 327 hari lepas (setakat 28 Jan 2015), malangnya usaha mencari ini belum berjaya menjumpai lokasi pesawat yang hilang itu. Berdasarkan hasil analisis yang dibuat terhadap semua bukti yang ada serta maklumat fakta, data berkenaan menyokong rumusan bahawa MH370 mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi.

Datuk Azharuddin dalam pengumumannya berkata, berpandukan data sama, pihak Malaysia merumuskan bahawa pesawat itu kehabisan bahan bakar di satu kawasan tertentu di selatan Lautan Hindi dan pesawat berkenaan berada di dasar laut berhampiran kawasan itu. Ia merupakan kawasan terpencil, jauh daripada sebarang tempat yang boleh dibuat pendaratan. Ia juga merupakan kawasan laut yang amat ganas dengan kedalaman lebih 6,000 meter. Kata beliau:

"Selepas 327 hari dan berdasarkan semua data yang ada serta keadaan yang disebutkan tadi, peluang untuk hidup di kawasan yang dinyatakan itu adalah amat mustahil. Oleh itu, dengan amat berat hati dan perasaan yang amat memilukan, maka bagi pihak kerajaan Malaysia, kami mengisytiharkan secara rasmi bahawa kejadian yang dialami Penerbangan MH370 Malaysia Airlines adalah satu kemalangan mengikut Standard Lampiran 12 dan 13 dalam Konvensyen Chicago dan bahawa kesemua 239 penumpang dan anak kapalnya dianggap hilang nyawa."

Kerajaan Malaysia sedar bahawa perisytiharan tentang kemalangan MH370 ini amat sukar untuk dipertimbang oleh keluarga dan orang tersayang 227 penumpang dan 12 anak kapal berkenaan, apatah lagi untuk menerimanya. Bagaimanapun, adalah amat penting bagi keluarga berkenaan untuk cuba meneruskan kehidupan biasa masing-masing, selepas kehilangan mengejut ini. Tanpa sebarang niat untuk mengetepikan perasaan keluarga terbabit, adalah diharapkan, perisytiharan ini akan membolehkan keluarga terbabit memperoleh bantuan yang mereka perlukan, terutama melalui proses pembayaran ganti rugi. Datuk Azharuddin memaklumkan:

"Kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa MAS akan memikul tanggungjawabnya berhubung hak yang sah dan kepentingan para waris seperti yang diperuntukkan oleh instrumen antarabangsa dan undang-undang domestik yang berkenaan, sambil memberi pertimbangan kepada amalan antarabangsa. Kami juga difahamkan bahawa MAS bersedia untuk meneruskan dengan serta merta proses pembayaran ganti rugi, sekiranya para waris bersedia menerima langkah itu."

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah goyah dalam komitmennya untuk meneruskan usaha dalam mencari MH370 dan memberi maklumat kepada semua orang, lebih-lebih lagi kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH370. Sesungguhnya, perisytiharan ini bukanlah bermakna suatu kesudahan. Malaysia akan terus bergerak ke hadapan dengan kerjasama dan bantuan kerajaan China dan Australia.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China