Cari:
Dapatkah "Diplomasi Shinkansen" Bantu Jepun Peroleh Tempahan ASEAN
2015-03-17 17:33:55 CRI Cetak

Persidangan Ketiga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pengurangan Risiko Bencana Dunia (WCDRR) diadakan di Sendai, Jepun baru-baru ini. Jepun mengatur pemimpin pelbagai negara termasuk Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menaiki Shinkansen untuk pergi ke Sendai dengan tujuan untuk mempromosikan "diplomasi Shinkansen"nya. Sama ada "diplomasi Shinkansen" itu dapat membantu Jepun memperoleh kontrak tempahan yang dihasratkan atau tidak masih menjadi tanda tanya.

Prayuth telah menaiki Shinkansen sebanyak dua kali dalam tempoh dua bulan lalu. Hal ini membuktikan betapa beliau mementingkan Shinkansen. Dalam tempoh persidangan berkenaan, Prayuth telah mengadakan rundingan singkat selama kira-kira 20 minit dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe. Pemimpin kedua-dua negara bersetuju mempercepat pelaksanaan memorandum mengenai kerjasama pembinaan landasan kereta api yang dicapai pada bulan lalu, dan telah membincangkan kandungan kerjasama selanjutnya. Menurut persetujuan kedua-dua pihak, sebuah jawatankuasa kerja kerjasama landasan kereta api akan ditubuhkan untuk menguruskan projek berkenaan.

Ketika mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin, Abe menyatakan bahawa Jepun amat berminat akan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura. Ini bukan kali pertama pihak Jepun berkata sedemikian. Dalam rundingan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Sidang Kemuncak Asia Timur di Myanmar pada bulan September lalu, Abe sudah pun menyuarakan hasrat supaya Shinkansen menyertai pembidaan projek tersebut.

Walaupun Muhyiddin memuji Shinkansen mempunyai teknologi yang maju dan pengalaman yang amat banyak, namun beliau juga berkata banyak faktor yang masih perlu dipertimbangkan, contohnya sama ada Shinkansen dapat menyediakan pakej penyelesaian kepada masalah-masalah berkenaan termasuk sumber modal. Malaysia juga meminta bakal pembida melakukan pemindahan teknologi, dan bukan sekadar menjual produk. Dengan cara ini, barulah dapat membantu meningkatkan peluang pekerjaan, menjana perkembangan industri hiliran dan huluan, serta pembangunan ekonomi di Malaysia.

Singapura, Malaysia dan China antara anggota pengasas Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB), yang ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah modal negara-negara Asia dalam pembinaan prasarana. Maka, projek landasan kereta api laju Malaysia-Singapura yang akan siap dibina pada tahun 2020 dijangka menjadi salah satu projek yang paling awal memperoleh pinjaman bank tersebut. Dalam pada itu, kereta api yang dieksport oleh China sudah mula beroperasi di pelbagai tempat di Malaysia, yang turut mendapat pujian pelbagai lapisan masyarakat tempatan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China