Cari:
Tujuan Lawatan Jokowi ke China
2015-03-26 13:19:16 CRI Cetak
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memulakan lawatan rasminya ke China hari ini dan akan menghadiri sidang tahunan Forum Asia Boao 2015 yang berlangsung pada 26 hingga 29 Mac di provinsi Hainan. Lawatan Jokowi kali ini diadakan atas undangan Presiden China, Xi Jinping. Inilah kali kedua beliau mengadakan lawatan ke China sejak menyandang jawatan Presiden Indonesia.

Pada bulan November tahun lepas, Jokowi buat kali pertama melawat China dan menghadiri Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang diadakan di Beijing pada masa itu. Jadi, apakah makna di sebalik pertukaran peringkat tinggi yang kerap antara China dan Indonesia ini?

Tahun ini agak istimewa bagi China dan Indonesia kerana tahun ini ialah ulang tahun ke-65 terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, ulang tahun penandatanganan perjanjian perkongsian strategik kedua-dua negara, serta ulang tahun ke-60 Persidangan Asia Afrika diadakan di Bandung, Indonesia.

Dalam tempoh lawatan Jokowi ke Beijing pada bulan November tahun lepas, beliau juga mengunjungi bandar Tianjin dengan menaiki kereta api kelajuan tinggi China. Pembangunan pesat China telah meninggalkan kesan yang mendalam bagi beliau, dan menjadi penggalak kepada Indonesia yang juga berharap dapat membangun dengan pesat seperti China.

Dalam buku biografinya yang dilancarkan secara rasmi di Beijing semalam, Jokowi mendedahkan bahawa beliau pernah berunding dengan Presiden Xi mengenai pengalaman pembangunan pesat China semasa lawatannya dahulu. Xi berkata, jika ada rancangan berkenaan, mestilah memulakan pembinaan prasarana secepat mungkin. Dalam pada itu, syarikat China patut digalakkan membuat pelaburan ke Indonesia.

Jadi, mencari kerjasama yang selanjutnya dengan China merupakan tujuan utama lawatan Jokowi kali ini. Ketika diwawancara oleh media tempatan sebelum ini, Jokowi menyatakan bahawa kerjasama antara China dan Indonesia dalam bidang pelaburan dan perniagaan berdepan peluang baharu, dan China dinanti-nantikan dapat menambah pelaburan dalam bidang pembinaan prasarana. Sebagaimana yang diketahui umum, prasarana yang agak ketinggalan sentiasa menjadi halangan besar bagi pertumbuhan ekonomi Indonesia. Jokowi menyatakan, Indonesia berharap China yang kaya dengan pengalaman teknikal dapat menyediakan bantuan kepada negaranya dan meningkatkan pelaburan dalam pembinaan lebuh raya, landasan kereta api, pembekalan elektrik dan pelabuhan.

Dimaklumkan, Jokowi akan menyampaikan ucapan berhubung kesalinghubungan dalam majlis perasmian sidang tahunan Forum Asia Boao 2015 ini. Beliau berkata, kesalinghubungan amat penting bagi negaranya dan forum kali ini diharap dapat memperkasakan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara negara-negara di rantau ini pada masa depan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China