Cari:
China Komited Galak Kerjasama Asia-Afrika
2015-04-22 18:13:12 CRI Cetak

Sidang Kemuncak Asia-Afrika (AAS) yang dirasmikan di Jakarta pagi tadi, dihadiri oleh pemimpin dan wakil dari 77 buah negara Asia dan Afrika serta pemerhati dari benua lain. Presiden China, Xi Jinping ketika menyampaikan ucapan dalam sidang kemuncak itu mengemukakan saranan dalam tiga perkara mengenai usaha memperkukuh kerjasama antara negara-negara berkenaan.

Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika berucap merasmikan AAS berkata, Persidangan Asia-Afrika yang diadakan di Bandung pada 60 tahun yang lalu membangkitkan kesedaran negara-negara Asia dan Afrika untuk bertapak di dunia sebagai negara merdeka dan meneruskan perjuangan demi kesaksamaan. Dalam sidang kemuncak kali ini, pemimpin dari negara-negara Asia dan Afrika akan memberikan tumpuan kepada penyelesaian masalah ketidaksaksamaan yang masih wujud di dunia, selain mengemukakan saranan mengenai pembangunan dua benua ini.

Dalam ucapannya, Presiden Xi berkata, sepuluh prinsip bagi mengendalikan hubungan antarabangsa yang dikemukakan dalam Persidangan Bandung telah memainkan peranan penting dari segi sejarah untuk menggalakkan order antarabangsa berkembang ke arah yang betul. Semangat Bandung ini tetap kekal hingga kini.

Kata beliau, "Kita perlu terus menyemarakkan dan menyuntik makna baharu yang bersesuaian dengan zaman semasa kepada semangat Bandung, bagi membentuk hubungan antarabangsa model baharu yang berteraskan kerjasama saling menguntungkan serta komuniti berkongsi masa depan demi manfaat rakyat Asia, Afrika dan rantau lain."

Presiden Xi turut menyeru agar negara-negara Asia dan Afrika mempertingkatkan taraf kerjasama, dan mengekalkan hubungan sebagai jiran dan sahabat baik yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Kata beliau, "Pihak-pihak terlibat hendaklah menyelaraskan strategi pembangunan berdasarkan prinsip saling menguntungkan demi pembangunan bersama, di samping mengoptimumkan kesalinglengkapan ekonomi sebagai pemangkin pembangunan. Negara-negara Asia dan Afrika perlu memperkukuh kerjasama, di samping mengintensifkan perpaduan dan kerjasama dengan negara-negara Amerika Latin, Pasifik Selatan dan rantau lain. Usaha juga perlu dilakukan untuk menggalakkan negara-negara maju meningkatkan sokongan kepada negara-negara membangun tanpa mengenakan sebarang syarat politik, bagi membentuk perkongsian global model baharu yang lebih saksama dan seimbang."

Presiden Xi turut menegaskan semula komitmen China untuk mendorong kerjasama antara negara-negara Asia dan Afrika. Beliau berjanji bahawa pada tahun ini China akan mengecualikan tarif bagi 97% barangan yang diimport dari negara paling mundur yang telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Selain itu, China juga akan terus memberikan bantuan kepada negara-negara membangun lain tanpa mengenakan sebarang syarat politik.

Presiden Xi mengumumkan bahawa China akan menyediakan peluang latihan kepada 100 ribu orang dari negara-negara membangun di Asia dan Afrika dalam tempoh lima tahun akan datang, dan menubuhkan Pusat Kerjasama China-Asia-Afrika.

  

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China