Cari:
Saat Terakhir Perjanjian Isu Nuklear Iran
2015-07-06 13:30:41 CRI Cetak

7 Julai merupakan tarikh akhir bagi pemeteraian perjanjian komprehensif tentang isu nuklear Iran. Menteri-menteri luar dari enam buah negara berhubung isu nuklear Iran telah tiba di Geneva pada Ahad lalu untuk melakukan usaha terakhir supaya perjanjian itu dapat dimeterai. Ini merupakan kali ketiga menteri-menteri luar enam negara tersebut berhimpun di Geneva dalam masa seminggu lalu sejak mesyuarat menteri luar pusingan pertama diadakan pada 28 Jun lepas.

Setiausaha Negara AS, John Kerry dalam sidang media yang diadakan petang semalam berkata bahawa pihak-pihak terlibat telah mencapai kemajuan positif dalam rundingan selama beberapa hari lalu. Kata beliau: "Menteri-menteri luar dari negara-negara tersebut akan kembali semula ke Geneva pada malam ini. Sekarang sudah tiba masanya untuk melihat sama ada satu perjanjian boleh dicapai atau tidak. Kami telah mengadakan rundingan melalui pelbagai kaedah yang berbeza dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pada beberapa hari yang lalu, kami telah mencapai kemajuan sebenar."

Bagaimanapun, John Kerry tetap memegang sikap yang berhati-hati tentang pencapaian perjanjian tersebut pada 7 Julai, iaitu tarikh akhir yang dijadualkan. Menurut beliau, terdapat dua kemungkinan dalam hal ini memandangkan masih terdapat banyak kesulitan yang perlu diatasi pihak-pihak berkenaan.

John Kerry berkata: "Saya ingin menjelaskan bahawa kami masih belum mencapai persepakatan tentang beberapa isu penting. Sekiranya keputusan dapat dibuat dengan pantas, perjanjian berkenaan nescaya dapat dicapai dalam minggu ini. Jika tidak, perjanjian itu pun tidak dapat dicapai."

Di samping itu, John Kerry turut menegaskan bahawa pihaknya akan mempertahankan kepentingannya dalam proses pencapaian perjanjian itu. Kata beliau: "Seperti yang dikatakan sejak permulaan rundingan ini, kami mengharapkan sebuah perjanjian yang baik dapat dicapai. Kami tidak akan membiarkan kepentingan kami terjejas dalam proses pencapaian perjanjian berkenaan. Sepertimana yang ditegaskan oleh Presiden Barack Obama, kami harus membendung empat saluran yang berpotensi untuk digunakan memperoleh senjata nuklear."

Sungguh pun begitu, menurut pihak-pihak yang berunding, perjanjian itu berkemungkinan besar dapat dimeterai dalam rundingan di Geneva kali ini, memandangkan persepakatan tentang kandungan utama perjanjian komprehensif itu sudah pun dicapai.

 

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China