Cari:
Perjanjian Komprehensif Nuklear Iran Dicapai
2015-07-15 15:18:53 CRI Cetak

Selepas rundingan sukar selama setahun dan sembilan bulan, Iran dengan enam negara terlibat dalam isu nuklear Iran (AS, Britain, Perancis, Rusia China dan Jerman) mencapai perjanjian komprehensif berhubung isu berkenaan di Vienna, Austria pada 14 Julai lalu. Dengan ini, perselisihan antarabangsa mengenai isu nuklear Iran yang berlarutan selama 13 tahun akhirnya diselesaikan dengan jayanya melalui saluran politik. Perjanjian komprehensif tersebut akan mengehadkan program nuklear Teheran dengan memastikan penggunaannya bagi tujuan damai. Serentak itu, sekatan yang dikenakan oleh masyarakat antarabangsa ke atas Iran juga akan dibatalkan.

Wakil kanan Kesatuan Eropah(EU) yang bertanggungjawab terhadap dasar luar dan keselamatan, Federica Mogherini mewakili enam negara terlibat tersebut mengumumkan kenyataan bersama yang dicapai antara semua pihak terlibat. Beliau berkata, "dengan sukacitanya diumumkan bahawa pihak-pihak terlibat telah mencapai perjanjian berhubung isu nuklear Iran berdasarkan ketabahan, hasrat politik, sikap saling menghormati dan ketetapan politik. Kami telah memenuhi komitmen bersama demi kedamaian dunia, serta berganding bahu menjadikan dunia ini lebih selamat. Perjanjian yang dimeterai antara semua pihak terlibat merupakan detik bersejarah dan lembaran baharu bagi hubungan antarabangsa."

Perjanjian yang baru dicapai tersebut panjangnya 109 halaman, yang melibatkan isu nuklear, sekatan, kerjasama tenaga nuklear penggunaan awam dan sebagainya. Menurut perjanjian tesebut, kebanyakan sekatan yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC), AS dan EU terhadap program nuklear Iran akan dibatalkan atau digantung pelaksanaannya secara sementara, termasuk dalam bidang sumber tenaga, perdagangan, kewangan dan teknologi. Manakala, Iran juga mesti menunaikan komitmennya untuk mengehadkan program nuklear dengan penggunaan bagi tujuan damai dan menerima pemeriksaan pihak antarabangsa untuk memastikan ketelusan program berkenaan. Perjanjian itu akan diserahkan kepada UNSC untuk diluluskan dan akan berkuat kuasa dalam tempoh tiga bulan.

Mogherini dalam kenyataan bersama itu berkata, perjanjian tersebut akan membantu menggalakkan kedamaian dan keselamatan serantau bahkan antarabangsa. Beliau berkata, "Iran menegaskan lagi bahawa negaranya sama sekali tidak akan meneroka atau memperoleh senjata nuklear."

Pada hari yang sama, Setiausaha Negara AS, John Kerry dalam sidang media menyatakan bahawa hanya dengan memastikan Iran menunaikan janjinya berkaitan program nuklear, sekatan ke atas Iran barulah dapat dibatalkan secara berperingkat. Jika Iran melanggar janjinya, sekatan berkenaan akan dilaksanakan semula.

Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata, perjanjian ini akan memainkan peranan utama bagi memperhebat sistem pengawalan senjata nuklear antarabangsa. Negaranya akan terlibat dalam pelaksanaan perjanjian itu secara proaktif.

Menteri Luar China, Wang Yi pula berpendapat perjanjian komprehensif ini bukan sahaja mempertahankan sistem pengawalan senjata nuklear antarabangsa, malah menunjukkan semangat menang-menang.

Sepertimana yang dinyatakan oleh semua pihak terlibat, pencapaian perjanjian itu hanya merupakan satu permulaan, pelaksanaannya yang menjadi cabaran sebenar. Mampukah perjanjian ini dilaksanakan secara berkesan, masih belum diketahui.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China