Cari:
Rundingan TPP Berdepan Detik Mencabar
2015-07-31 16:40:54 CRI Cetak

Menteri Perdagangan dari 12 buah negara yang terlibat dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) menyertai mesyuarat selama empat hari di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) bermula 28 Julai lalu. Beberapa topik sukar akan dibincangkan dalam mesyuarat ini, yang merupakan mesyuarat rasmi pertama selepas Presiden AS, Barack Obama diberi mandat untuk mempercepat rundingan berkenaan pada bulan lalu. Para peserta akan mengadakan sidang akhbar hari ini untuk mengumumkan hasil rundingan tertutup tersebut.

Menurut mandat berkenaan, Kongres AS berhak "meluluskan" atau "memveto" perjanjian perdagangan yang dicapai oleh kerajaan, dan tidak berhak membahas atau meminda perjanjian berkenaan. Oleh itu, ramai yang menaruh harapan tinggi terhadap prospek tercapainya TPP. Menteri Kewangan Jepun, Akira Amari sebelum berlepas ke Hawaii menyatakan bahawa mesyuarat ini amat penting kerana terdapat kemungkinan inilah rundingan terakhir mengenai TPP.

Setelah berunding selama lebih lima tahun, para peserta kini melahirkan harapan agar perjanjian TPP dapat dicapai pada minggu ini. Walau bagaimanapun, penganalisis berpendapat bahawa meskipun konsensus sudah pun atau bakal dicapai bagi 25 daripada 31 sektor yang terlibat dalam TPP, namun masih terdapat kesukaran yang perlu diatasi dalam rundingan mengenai akses pasaran, pembaharuan terhadap syarikat milik negara, peraturan hak harta intelek, hak-hak sumber manusia, perlindungan alam sekitar dan mekanisme penyelesaian pertikaian berkaitan pelaburan. Contohnya, AS dan Jepun masih belum mencapai persepakatan mengenai tarif import bagi hasil pertanian dan perdagangan kereta, yang memberi kesan terhadap rundingan TPP pada keseluruhannya. Selain itu, kerajaan Kanada yang bakal berdepan dengan pilihan raya pada bulan Oktober nanti, agak keberatan untuk membuka pasaran hasil tenusu dan daging ayam itik. Hal ini turut akan menjejaskan tanggapan orang ramai terhadap masa depan rundingan TPP.

Sekiranya perjanjian gagal dicapai pada minggu ini, bahkan rundingan dilanjutkan ke tahun depan, tentu akan menambah faktor ketidaktentuannya.

Negara-negara yang terlibat dalam rundingan TPP termasuk AS, Jepun, Singapura, Brunei, Vietnam, Malaysia, Australia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand dan Peru.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China