Cari:
Transformasi Ekonomi China Bawa Peluang Baharu bagi Kerjasama China-Singapura
2015-10-13 14:04:46 Agensi Berita Xinhua China Cetak
Naib Perdana Menteri China, Zhang Gaoli mengadakan lawatan ke Singapura pada 12 hingga 14 Oktober ini. Dalam tempoh lawatan ini, beliau akan mempengerusikan Sidang Ke-12 Majlis Bersama bagi Kerjasama Bilateral(JCBC) China-Singapura, Mesyuarat Majlis Pemandu Bersama Taman Industri Suzhou(SIP) ke-17 dan Mesyuarat ke-8 Majlis Pemandu Bersama Bandar Ekologi Tianjin China-Singapura. Duta Besar China ke Singapura, Chen Xiaodong dalam temu bual bersama Agensi Berita Xinhua menyatakan bahawa dalam tempoh tersebut, kedua-dua negara akan mengadakan rundingan berhubung projek kerjasama ketiga antara kerajaan serta isu-isu penting lain termasuk penaiktarafan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) China dan Singapura, selain membincangkan kerjasama yang lebih meluas dan mendalam.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-25 terjalinnya hubungan diplomatik antara China dan Singapura. Kini, China telah menjadi rakan dagang terbesar bagi Singapura, manakala Singapura merupakan negara sumber pelaburan asing terbesar bagi China selama dua tahun sejak tahun 2013.

Selain projek SIP dan Bandar Ekologi Tianjin China-Singapura, Singapura juga membentuk mekanisme kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan provinsi Shandong, Sichuan, Liaoning dan Guangdong China secara berasingan. Seiring dengan transformasi ekonomi China yang semakin ketara, kedua-dua negara telah memulakan rundingan mengenai program kerjasama yang ketiga antara kerajaan, di bahagian barat China.

Chen Xiaodong berkata, program baharu yang bakal dilaksanakan di barat China tersebut mengatasi SIP dan Bandar Ekologi Tianjin baik dari segi lingkungan wilayah, mahupun dari segi konsep dan model kerjasama. Projek baharu ini merangkumi kesalinghubungan, logistik moden dan kewangan moden. Beliau yakin, jika projek itu dapat dilaksanakan dengan lancar, makna dan pengaruhnya akan jauh lebih besar jika dibandingkan dengan program Suzhou dan Tianjin.

Berhubung dengan hal ini, Duta Besar Singapura ke China, Stanley Loh Ka Leung menyatakan bahawa program kerjasama yang ketiga antara kerajaan kedua-dua negara ini bukan sahaja menerapkan gagasan "Satu Jalur, Satu Laluan" (OBAOR), bahkan memainkan peranan "satu laluan menyambungkan satu jalur". Beliau berkata, bahagian barat China dikenali umum sebagai tempat bermulanya Laluan Sutera darat, manakala Singapura merupakan komponen penting bagi Laluan Sutera Maritim. Projek kerjasama ketiga antara kerajaan China dan Singapura tersebut diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bahagian barat China dan turut mengurangkan kos pelaburan dan perniagaan di kawasan tersebut.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China