17 Oktober ini merupakan Hari Pembasmian Kemiskinan yang kedua bagi China, yang juga bertepatan dengan Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa ke-23. Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Dewan Negara China, yang juga jurucakap, Guo Weimin mengumumkan di Beijing semalam bahawa Presiden Xi Jinping akan menghadiri Forum Peringkat Tinggi mengenai Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Global 2015 yang dijadualkan pada 16 Oktober nanti dan menyampaikan ucapan untuk berkongsi pengalaman dalam bidang berkenaan dengan masyarakat antarabangsa.
Forum tersebut yang mula diadakan pada tahun 2007 telah menjadi wahana peringkat antarabangsa bagi pelbagai pihak terutamanya negara-negara membangun dan institusi-institusi antarabangsa untuk berkongsi pengalaman dan membincangkan langkah-langkah mengatasi cabaran kemiskinan dan mengurangkan kadar kemiskinan. Pada bulan September lalu, Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pembangunan telah meluluskan agenda pembangunan pasca 2015 yang menjadikan pembasmian kemiskinan sebagai sasaran utamanya. Hal ini turut membuka lembaran baharu dalam usaha membasmi kemiskinan di seluruh dunia. Serentak itu, kerajaan China juga mempergiat usaha untuk mewujudkan masyarakat kaya dengan menyeluruh menjelang tahun 2020. Demi matlamat tersebut, pengurangan kadar kemiskinan dan pembangunan kawasan miskin telah digariskan sebagai salah satu kandungan utama dalam Rancangan Pembangunan Sosioekonomi China bagi Tempoh Lima Tahun Ke-13.
Forum tahun ini yang bertemakan "Ganding Bahu Membasmi Kemiskinan Demi Pembangunan Bersama" bakal diserikan dengan kehadiran pemimpin dan ahli politik dari pelbagai negara serta petugas pertubuhan antarabangsa.
Menurut Naib Pengarah Jabatan Pembasmian Kemiskinan Dewan Negara China, Hong Tianyun, Presiden Xi dalam forum itu akan membentangkan langkah-langkah China untuk mengatasi masalah kemiskinan dalam usaha membangunkan masyarakat kaya dengan menyeluruh. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon akan menyampaikan ucapan melalui video di samping menghantar seorang Penolong Setiausaha Agung PBB untuk menghadiri forum tersebut. Selain itu, ketua negara dan petugas pertubuhan antarabangsa berkenaan juga akan menyampaikan ucapan dalam forum itu. Pada petang 16 Oktober, sebuah mesyuarat peringkat tinggi akan diadakan bagi membincangkan agenda pembangunan antarabangsa dan strategi pembasmian kemiskinan yang terperinci.
Menurut data tahun 2014, terdapat 70.17 juta orang miskin di kawasan luar bandar China. Hong Tianyun menjelaskan bahawa kerajaan China komited melepaskan semua penduduk luar bandar daripada kemiskinan menjelang tahun 2020. Demi mewujudkan sasaran itu, kerajaan China telah menghantar pasukan pekerja ke hampir 130 ribu kampung miskin untuk memberikan bantuan sewajarnya. Menurut Hong lagi, walaupun China menghadapi tekanan yang besar berikutan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada tahun ini, tetapi sasaran untuk membebaskan 10 juta orang daripada kemiskinan menjelang penghujung tahun ini dijangka dapat diwujudkan.