Cari:
Kerjasama Asia Timur Memasuki Fasa Baharu
2015-11-24 14:29:45 CRI Cetak

Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berakhir di Kuala Lumpur pada 22 November lalu. Pemimpin sepuluh negara ASEAN mengumumkan penubuhan rasmi Komuniti ASEAN pada penghujung tahun ini dan berjanji akan menggalakkan pembangunan komuniti tersebut dalam tempoh sepuluh tahun yang akan datang. Pada masa yang sama, pemimpin dari 18 negara dan Setiausaha Agung PBB mengadakan rundingan, membincangkan masalah serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama. Hal ini telah membuka lembaran baharu bagi kerjasama Asia Timur.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan memfokuskan topik penubuhan dan perkembangan Komuniti ASEAN, kerjasama ekonomi, kesalinghubungan serantau, kerjasama maritim, perlindungan alam sekitar, antikeganasan, imigrasi haram, perubahan iklim dan lain-lain. Sebanyak 60 persepakatan berjaya dicapai.

Perdana Menteri Malaysia, negara pengerusi bergilir ASEAN tahun ini, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dalam majlis penutup menyatakan bahawa penubuhan Komuniti ASEAN merupakan titik bersejarah bagi seluruh rantau ini. Namun, meskipun kejayaan yang dicapai oleh ASEAN sejak ditubuhkan 48 tahun lalu amat cemerlang, namun ini hanyalah satu permulaan. Negara-negara ASEAN perlu terus berusaha bersungguh-sungguh demi mewujudkan integrasi yang menyeluruh.

Dalam persidangan tersebut, para peserta turut mencela keganasan dan ekstremisme, dan sebulat suara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dan penyelarasan untuk membanteras keganasan.

Sidang Kemuncak ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan (10+3) pula memfokuskan tiga aspek, iaitu impak kelembapan ekonomi global terhadap kawasan Asia Timur, peningkatan kerjasama demi menggalakkan kesalinghubungan serantau, dan kerjasama pihak ketiga. Selain itu, pemimpin negara-negara berkenaan juga mengalu-alukan pencapaian pragmatik rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RECP) dan akan menggiatkan usaha agar rundingan tersebut dapat diselesaikan pada tahun 2016.

Dalam sidang kemuncak tersebut, kerjasama China dengan ASEAN juga ditingkatkan dan diperkukuh. China menegaskan lagi dasarnya yang mengutamakan ASEAN, dan memberi cadangan untuk meningkatkan perdagangan dua hala, kesalinghubungan serantau, kesalingpercayaan dalam bidang politik dan keselamatan, pertukaran kebudayaan dan lain-lain.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China