Cari:
Perubahan Iklim, Perjuangan Bersama
2015-12-01 16:47:31 CRI Cetak

Presiden China, Xi Jinping yang menyampaikan ucapan pada majlis perasmian persidangan perubahan iklim di Paris, menggesa semua pihak supaya menunjukkan keikhlasan dan keyakinan, serta bekerjasama untuk mempercepat pembentukan mekanisme yang adil dan berkesan bagi menangani perubahan iklim global.

Beliau turut menekankan pentingnya usaha merealisasikan pembangunan lestari yang tarafnya lebih tinggi, dan membina hubungan antarabangsa yang berteraskan kerjasama menang-menang.

Untuk melahirkan harapan beliau supaya persidangan tersebut berhasil, Xi dalam ucapannya telah memetik kata-kata penulis Perancis, Victor Hugo, "Tekad yang teguh barulah kebijaksanaan paling benar". Beliau menyatakan bahawa satu perjanjian antarabangsa yang berkesan bukan sahaja dapat menyelesaikan percanggahan yang sedia wujud, tetapi juga berperanan untuk menerajui masa depan.

Persidangan perubahan iklim di Paris yang dijadualkan pada 30 November hingga 11 Disember ini juga dikenali dengan nama penuhnya, Persidangan ke-21 Pihak-pihak Pemeterai Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Persidangan ke-11 Pihak-pihak Pemeterai Protokol Kyoto. Persidangan ini dijangka akan memuktamadkan perjanjian perubahan iklim baharu dan membentuk mekanisme yang sesuai diguna pakai oleh semua bagi menangani perubahan iklim pasca 2020, yang dianggap amat bermakna.

Menurut Xi, prinsip bersama-sama memikul tanggungjawab yang berbeza perlu dipatuhi bagi membolehkan pelbagai negara mencari formula penyelesaian yang paling sesuai dengan keadaan negara masing-masing, kerana wujudnya perbezaan dari segi tanggungjawab sejarah, tahap pembangunan dan keupayaan antara negara maju dan negara membangun.

Xi menegaskan bahawa persidangan di Paris bukan garis penamat, tetapi titik permulaan baharu. China akan memasukkan pembangunan tamadun ekologi ke dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun ke-13 bagi mewujudkan keharmonian antara manusia dengan alam.

Tambah beliau, kerajaan China melaksanakan dasar kerjasama Selatan-Selatan mengenai perubahan iklim dengan bersungguh-sungguh, dan telah mengumumkan penubuhan tabung berkenaan pada September lalu.

China akan terus menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam bidang sumber tenaga bersih, pencegahan dan pengurangan bencana, perlindungan ekologi, penyesuaiikliman pertanian serta pembinaan bandar pintar karbon rendah, di samping membantu negara membangun lain meningkatkan keupayaan untuk mendapatkan pembiayaan.

Beliau turut menyifatkan usaha menangani perubahan iklim sebagai perjuangan bersama yang memerlukan kerjasama semua.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China