Cari:
Kemasukan RMB dalam SDR Signifikan
2015-12-01 12:55:37 CRI Cetak

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang beribu pejabat di Washington semalam mengumumkan keputusan untuk memasukkan renminbi (RMB) dalam bakul mata wang hak pengeluaran khas (SDR), yang akan berkuat kuasa bermula 1 Oktober 2016. Hal ini menandakan RMB akan menjadi mata wang antarabangsa yang kelima terbesar di dunia, selepas dolar Amerika, euro, yen Jepun dan paun Britain, dan juga mata wang pertama dari negara pasaran baru muncul yang disenaraikan dalam SDR.

Keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Eksekutif IMF dalam mesyuarat semalam, yang menganggap RMB memenuhi semua piawaian SDR dan boleh digunakan secara bebas selepas 1 Oktober tahun depan. RMB akan mencatat perkadaran 10.92% SDR, iaitu mengatasi yen dan paun, didahului dolar dan euro yang masing-masing 41.7% dan 30.93%.

Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde dalam satu sidang media berkata, penyenaraian RMB dalam SDR merupakan perkara penting dalam proses pengintegrasian ekonomi China dalam sistem kewangan global. Kata beliau, "Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan China mula melakukan transformasi ekonomi yang berorientasikan pasaran. Kemasukan RMB dalam SDR amat signifikan."

Lagarde menyatakan bahawa jika pada setahun lalu, beliau mungkin masih ragu-ragu sama ada RMB sesuai disenaraikan dalam SDR. Namun, keraguan tersebut hilang selepas melihat kerajaan China melaksanakan siri pembaharuan penting termasuk mewujudkan liberalisasi kadar pertukaran asing dan meningkatkan ketelusan data ekonomi. Penyenaraian RMB dalam SDR adalah pengiktirafan terhadap usaha China tersebut.

Menurut penganalisis, kemasukan RMB dalam SDR menandakan China telah bangkit daripada sebuah negara miskin kepada tonggak ekonomi dunia, dan juga pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap prestasi ekonomi negara ini serta peranannya dalam pasaran kewangan global. Pakar menjangkakan bahawa RMB, dolar Amerika dan euro akan menjadi tiga mata wang antarabangsa yang utama menjelang tahun 2030.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China