Cari:
Ulang Tahun ke-2 Insiden Kehilangan MH370
2016-03-09 16:11:26 Agensi Berita Xinhua China Cetak

8 Mac lalu merupakan hari ulang tahun ke-2 insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Pada hari yang sama, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan untuk menyampaikan perasaan duka cita atas insiden tersebut.

Najib dalam kenyataan beliau menyatakan bahawa serpihan yang telah ditemukan di Pulau Reunion pada bulan Julai tahun lepas membuktikan penerbangan pesawat MH370 berakhir di perairan Lautan Hindi Selatan. Menurutnya, Malaysia masih menaruh harapan untuk menemukan pesawat tersebut dalam lingkungan seluas 120 ribu kilometer persegi. Operasi mencari pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 boleh dikatakan paling mencabar dalam sejarah penerbangan kerana skuad pencari terpaksa berdepan dengan rupa bumi yang paling rumit di dunia.

Semalam, kenya­taan inte­rim berhubung kehilangan pesawat MH370 dikeluarkan oleh Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang terdiri daripada Malaysia dan negara-negara terlibat. Menurut kenyataan itu, laporan muktamad akan dikeluarkan selepas lokasi serpihan utama pesawat MH370 dikenal pasti dan misi pencarian pesawat berkenaan berakhir.

Darren Chester, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia dalam kenyataannya semalam berkata, negaranya berjanji akan mencari pesawat MH370 dengan sedaya upaya untuk memberikan penjelasan kepada ahli keluarga penumpang pesawat itu. Chester dalam sidang media berkata, negaranya telah menyelesaikan misi pencarian di 90 ribu kilometer persegi daripada kawasan pencarian yang seluas 120 ribu kilometer persegi. Baki pencarian akan diselesaikan secepat mungkin dengan menggunakan teknologi sonar dan sebagainya.

Menurut akhbar The Guardian Britain, Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Martin Dolan mendedahkan bahawa serpihan utama pesawat MH370 diyakini dapat ditemukan dalam tempoh empat bulan. Kini, operasi pencarian yang telah menelan belanja sebanyak beratus juta dolar A.S. telah memasuki fasa terakhir.

Baru-baru ini, dua serpihan lagi yang disyaki milik pesawat Boeing 777, model pesawat yang sama seperti MH370 dijumpai oleh anggota pencari masing-masing di Pulau Reunion dan Mozambique. Namun, serpihan tersebut masih belum disahkan sama ada milik pesawat MH370 atau tidak.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu pemberita bahawa penyiasat Malaysia telah tiba Mozambique dan telah mendapat serpihan baharu yang disyaki milik pesawat MH370. Siasatan berkenaan akan dijalankan dengan secepat mungkin. Kerja siasatan terhadap satu lagi serpihan yang dijumpai di Pulau Reunion hanya dapat dijalankan setelah kebenaran jabatan kehakiman Perancis diperoleh.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China