Cari:
Transformasi Industri Perbankan China Berdepan Cabaran
2016-06-24 16:15:21 CRI Cetak

Persidangan Perbankan Antarabangsa China (CIBC) 2016 diadakan di Beijing semalam. Lebih seratus orang pegawai kanan dan pakar penyelia bank dari dalam dan luar negara menghadiri persidangan tersebut untuk membincangkan transformasi industri perbankan China.

Sektor perkhidmatan kewangan China berkembang dengan pesat, dan bank komersial sedang mengalami pembaharuan. Pendekatan untuk menggalakkan penaiktarafan keupayaan kewangan serta inovasi menjadi titik berat pembangunan industri perbankan negara ini.

Ketua ahli ekonomi Bank Baoshang, Hua Ercheng berkata, pembaharuan sektor perbankan China berdepan dengan cabaran besar. "Jumlah hutang lapuk semakin bertambah, manakala perbezaan kadar faedah bagi pinjaman dan simpanan semakin kecil, menyebabkan keuntungan bersih bank-bank berkenaan meningkat perlahan. Sementara itu, pengurangan kapasiti pengeluaran berlebihan dipercepat, yang turut meningkatkan risiko kepada kualiti aset bank. Selain itu, persaingan yang semakin sengit serta perkembangan kewangan internet (ITFIN) dan kewangan yang berteraskan teknologi juga membawa cabaran kepada sektor perkhidmatan perbankan tradisional."

Pengerusi The Asian Banker, penyedia maklumat kewangan berprestij, Emmanuel Daniel ketika diwawancara berkata, penyusunan semula sistem perbankan yang sedia ada akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi China. Kata beliau, "Industri perbankan China yang dulunya diterajui empat buah bank milik negara terbesar, kini lebih berorientasikan pasaran, sekali gus membolehkan semakin banyak bank kecil menyertai persaingan dalam sektor berkenaan. Satu sistem yang cekap perlu diwujudkan bagi memberi peluang sama rata kepada pelbagai jenis bank untuk menyertai persaingan tersebut. Di samping itu, langkah-langkah yang berkesan juga perlu diambil untuk memastikan lebih banyak pinjaman kredit turut disalurkan kepada perusahaan kecil dan mikro."

Meskipun berhadapan dengan cabaran, industri perbankan China masih mempunyai banyak peluang untuk terus berkembang. Hua Ercheng berkata, "Pertama, penaiktarafan penggunaan yang dianggap sebagai penjana pertumbuhan ekonomi, akan melonjakkan permintaan terhadap perkhidmatan kewangan. Kedua, sektor kewangan yang lebih terbuka dan lebih berorientasikan pasaran akan memacu perkembangan perniagaan pengurusan kekayaan, yang menguntungkan semua bank. Dan ketikga, pembangunan ekonomi hijau juga membantu memajukan industri tersebut."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China