Cari:
Pelaburan China Rangsang Pembinaan Infrastruktur Indonesia
2016-08-12 13:11:24 CRI Cetak
Menurut Biro Penyelarasan Pelaburan Indonesia baru-baru ini, pelaburan langsung asing (FDI) di negara itu telah melebihi USD14 bilion (RM56 bilion) pada separuh tahun pertama tahun ini, meningkat 1% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Pelaburan China di Indonesia mencatat USD2.11 bilion (RM8.44 bilion), menampakkan peningkatan mendadak iaitu pada kadar 529.28%. Pelaburan China memainkan peranan yang kian penting dalam ekonomi Indonesia.

Presiden Indonesia, Joko Widodo menyatakan bahawa pembinaan infrastruktur dalam lima tahun depan memerlukan dana 4900 trilion Rupiah (RM1.49 bilion) dan kerajaan hanya mampu memperuntukkan 1500 trilion Rupiah. Oleh yang demikian, pembinaan infrastruktur amat memerlukan penglibatan syarikat swasta dan dana dari pelbagai pihak. Kerajaan Indonesia kini sedang giat menarik pelaburan asing. Media Indonesia menganggap bahawa pelaburan daripada China memang tepat pada waktunya.

Pada masa ini, banyak syarikat China terutamanya syarikat swasta mengembangkan perniagaan di Indonesia. Menurut statistik kasar, terdapat lebih 1,000 buah syarikat China menjalankan urus niaga di Indonesia yang meliputi sektor besi keluli, bahan binaan, petrokimia, hasil laut, kereta, pertanian, tekstil dan e-dagang.

Menurut statistik Biro Penyelarasan Pelaburan Indonesia, sekarang ada 20 buah syarikat dari provinsi Guangdong China berhasrat untuk melabur di Indonesia. Selain itu, banyak lagi syarikat China menyatakan keinginan untuk melabur di Indonesia.

Menteri Perdagangan Indonesia, Thomas Trikasih Lembong menyatakan bahawa pelaburan China ke Indonesia berfaedah kepada imbangan perdagangan antara kedua-dua negara. Beliau berharap kedua-dua negara ini terus meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk mewujudkan situasi menang-menang.

Tentang projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung, Menteri Perusahaan Milik Negara Indonesia, Rini Mariani Soemarno menyatakan bahawa projek yang dibina dengan usaha sama China dan Indonesia ini merupakan kemajuan yang paling besar dalam pembangunan pengangkutan negara itu.

Penganalisis berpendapat bahawa pelaburan China di Indonesia masih mempunyai potensi yang amat besar dan kerjasama ini dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China