Cari:
Persidangan Panglong Buka Lembaran Baharu Proses Damai Myanmar
2016-08-16 15:05:17 CRI Cetak

Persidangan Etnik Panglong Abad Ke-21 yang bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara semua kaum Myanmar akan diadakan pada 31 Ogos ini. Persidangan tersebut bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah proses damai negara itu.

Menjelang persidangan ini, pelbagai pihak antaranya kerajaan dan kumpulan bersenjata etnik minoriti telah memberikan isyarat yang positif serta harapan untuk mewujudkan permuafakatan antara satu sama lain.

Usaha mewujudkan permuafakatan antara kaum merupakan tugas utama kerajaan pimpinan Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD). Pada 11 Julai lalu, kerajaan Myanmar menubuhkan Pusat Permuafakatan dan Perdamaian Nasional (NRPC) untuk menggariskan panduan kerjasama antara pelbagai pihak termasuk kerajaan, parlimen, pasukan tentera, pertubuhan etnik minoriti dan kumpulan bersenjata etnik minoriti.

Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi yang mengetuai NRPC telah kerap kali mengadakan perbincangan dengan pihak tentera dan kumpulan etnik bersenjata sebelum persidangan Panglong diadakan.

Pada Februari 1947, Suu Kyi memeterai Perjanjian Panglong dengan pemimpin kaum Shan, Kachin dan Chin di pekan Panglong, utara Myanmar yang bersetuju menubuhkan Kesatuan Myanmar bagi menamatkan pemerintahan kolonial British.

Namun, selepas Myanmar mencapai kemerdekaan, perselisihan kaum yang wujud semasa pemerintahan kolonial British menjadi semakin meruncing hingga mencetuskan perang saudara yang berpanjangan. Dalam tempoh lebih 60 tahun yang lalu, terdapat puluhan kumpulan etnik bersenjata yang berkonfrontasi dengan kerajaan pusat.

Pertumpahan darah yang berlarutan berdekad-dekad lamanya menyebabkan pihak-pihak terbabit menyedari bahawa isu perkauman hanya dapat diselesaikan melalui rundingan damai, bukanlah kekerasan.

Pada era pentadbiran Thein Sein, hanya 8 buah kumpulan etnik bersenjata memeterai perjanjian gencatan senjata dengan kerajaan. Para penganalisis berpendapat, kurang persefahaman dan tiada rasa saling mempercayai antara kedua-dua pihak adalah halangan utama dalam proses perdamaian Myanmar.

Selepas mengambil alih pentadbiran negara, NLD yang menjunjung prinsip toleransi dan inklusif telah mengamalkan dasar yang lebih fleksibel untuk menjemput semua kumpulan etnik bersenjata menyertai Persidangan Panglong.

Usaha kerajaan Myanmar itu disambut baik oleh kebanyakan kumpulan etnik bersenjata. Pada akhir bulan Julai, wakil 17 daripada kesemua 21 kumpulan etnik bersenjata berhimpun di negeri Kachin bagi membincangkan isu-isu yang menjadi fokus persidangan Panglong.

Menurut penganalisis, walaupun proses damai Myanmar masih berdepan dengan onak dan duri, namun formula penyelesaian yang diterima semua diyakini dapat diwujudkan melalui rundingan asalkan pihak-pihak terlibat bersedia duduk semeja. Hal ini juga selaras dengan kepentingan negara dan aspirasi seluruh rakyat.

 

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China