Cari:
China, Myanmar Warisi Ikatan "Pauk-Phaw"
2016-08-19 12:57:38 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang dalam rundingan dengan Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi di Beijing semalam, menegaskan kesediaan China untuk mengintensifkan penyelarasan strategi pembangunan serta kerjasama pragmatik dengan Myanmar demi situasi menang-menang dan manfaat rakyat kedua-dua negara.

Beliau turut menyeru supaya kedua-dua pihak melakukan sinergi untuk mempergiat projek-projek kerjasama mega, termasuk saluran paip minyak dan gas China-Myanmar dan Empangan Myitsone yang tertangguh sejak tahun 2011, bagi memperkasakan pembinaan prasarana dan kesalinghubungan.

Ini merupakan lawatan sulung Suu Kyi ke negara luar rantau ASEAN selepas menyandang jawatan Penasihat Negara Myanmar. PM Li dalam rundingan tersebut berkata,

"Lawatan ini memperlihatkan keprihatinan tinggi kerajaan Myanmar terhadap hubungan dengan China. China mengutamakan ikatan 'Pauk-Phaw' yang diwarisi turun-temurun di kalangan rakyat kedua-dua negara, dan bersedia bekerjasama dengan Myanmar untuk melonjakkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi."

Suu Kyi pula menyatakan bahawa ikatan persahabatan yang sudah lama terjalin antara Myanmar dengan China mempunyai asas yang amat kukuh. Kata beliau,

"Hubungan dua hala antara Myanmar dengan China diharap terus diintensifkan, walau apa-apa jua perubahan yang berlaku pada situasi dunia. Saya yakin lawatan ini dapat membuahkan hasil memuaskan, yang membantu menyuburkan lagi persahabatan antara rakyat kedua-dua negara."

Selain hubungan bilateral, kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pendapat tentang situasi di utara Myanmar. Dalam pada itu, Li berkata bahawa China menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah Myanmar dan bersedia terus memainkan peranan yang bersifat membina dalam proses damai Myanmar.

Beliau turut menyuarakan harapan agar Persidangan Etnik Panglong Abad Ke-21 yang bermatlamat mewujudkan permuafakatan antara semua kaum Myanmar dapat mencapai kejayaan. 

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China